Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masyarakat Islam Amerika kumpul derma lebih $55,000 bagi bantu baiki perkuburan Yahudi

Satu projek pendanaan orang ramai yang dilancarkan oleh para aktivis Muslim berhasil mengumpulkan lebih $55,000 dalam sehari untuk memperbaiki perkuburan orang Yahudi yang dirosakkan di St Louis.

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Islam Amerika kumpul derma lebih $55,000 bagi bantu baiki perkuburan Yahudi

Perkuburan Yahudi yang musnah. (Gambar: MSNBC/YouTube)

Diterbitkan : 27 Feb 2017 03:34PM Dikemas Kini : 27 Feb 2017 03:59PM

AMERIKA SYARIKAT: Satu projek pendanaan orang ramai yang dilancarkan oleh para aktivis Muslim berhasil mengumpulkan lebih $55,000 dalam sehari untuk memperbaiki perkuburan orang Yahudi yang dirosakkan di St Louis.

Pada Selasa (21 Feb), Linda Sarsour dari kumpulan MPower Change dan Tarek El-Messidi dari pertubuhan bukan keuntungan CelebrateMercy mengajak orang ramai supaya menghulurkan derma setelah lebih 100 batu nisan musnah di Perkuburan Chesed Shel Emeth di University City, di pinggir bandar St Louis.

Awal keesokan harinya (22 Feb), sebanyak $55,341 (S$77,800) berjaya dikumpulkan, lapor Al Jazeera.

Menurut laporan, polis menyatakan pihaknya masih belum mengenal pasti dalang yang merosakkan batu-batu nisan tersebut.

"Muslim Amerika berdiri teguh bersama-sama masyarakat Yahudi Amerika dan mengutuk perbuatan sedemikian," kata para aktivis.

Mereka melancarkan sebuah kempen dengan matlamat mengumpulkan $20,000, sasaran yang tercapai dalam masa hanya tiga jam!

"Baki dana - selepas perkuburan itu dibaik pulih - akan diperuntukan untuk membaiki mana-mana pusat Yahudi yang dirosakkan," kata Cik Sarsour dan Encik Tarek seperti yang ditukil Al Jazeera.

KEBANGKITAN SENTIMEN ANTI-YAHUDI

Perkuburan itu dirosakkan di tengah-tengah kebangkitan sentimen anti-Yahudi di Amerika Syarikat di mana pusat-pusat Yahudi semakin menjadi sasaran ancaman bom.

Baik Muslim ataupun Yahudi, masing-masing menyuarakan kebimbangan mereka terhadap diskriminasi yang menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, lapor Al Jazeera.

Selepas sebuah masjid Texas dibakar pada bulan Januari, rakyat Amerika mengumpulkan lebih sejuta dolar untuk menjalankan kerja-kerja membaik pulih.

Masyarakat Yahudi tempatan pula menyerahkan kunci rumah ibadat mereka kepada yang terjejas supaya masyakarat Muslim masih boleh terus beribadah.

Cik Sarsour dan Encik Tarek berkata, sikap bertolak ansur dan saling melindungi adalah sesuatu yang diutamakan dalam Islam.

"Kami berharap dapat menyampaikan mesej perpaduan dari masyarakat Yahudi dan Muslim bahawa tidak ada ruang untuk kebencian, pencemaran (nama baik agama) dan keganasan di Amerika," tambah mereka.

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan