Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masjid kontroversil: Wanita, lelaki solat jemaah sebelah-menyebelah di masjid ini

Dari luar ia mungkin kelihatan seperti masjid biasa, namun Masjid Ibnu Rusyd-Goethe yang terletak di tingkat tiga sebuah gereja sebenarnya jauh berbeza.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid kontroversil: Wanita, lelaki solat jemaah sebelah-menyebelah di masjid ini

Petikan gambar dari YouTube.

Diterbitkan : 20 Jun 2017 11:34PM Dikemas Kini : 20 Jun 2017 11:35PM

BERLIN: Dari luar ia mungkin kelihatan seperti masjid biasa, namun Masjid Ibnu Rusyd-Goethe yang terletak di tingkat tiga sebuah gereja sebenarnya jauh berbeza.

Cara ibadah di masjid tersebut dikendalikan pasti membuat ramai masyarakat Islam di Asia Tenggara ini dan rantau lain terkejut kehairanan atau menggeleng kepala.

Di masjid itu - yang dikatakan sebagai masjid 'liberal' pertama di Jerman - seorang wanita, Seyran Ates, menjadi imam solat. Malah, jemaah lelaki dan wanita yang lazimnya bersolat berasingan, semuanya bersolat bersebelahan antara satu sama lain.

Cik Ates, yang juga pengasas masjid tersebut, turut menyampaikan khutbah selepas solat, lapor Washington Post.

2 IMAM SOLAT JUMAAT - SEORANG LELAKI, SEORANG WANITA

Bagi solat Jumaat pula, dua orang imam - seorang wanita dan seorang lelaki silih berganti menjadi imam. Selepas solat para jemaah akan mengikuti dua orang rabi atau imam Yahudi menyanyikan sebuah lagu mengenai persahabatan dalam bahasa Hebrew.

"Niat kami adalah untuk memberikan ruang ibadah buat para pengikut Islam liberal," kata Cik Ates.

"Saya rasa didiskriminasikan oleh masjid-masjid biasa di mana wanita perlu bersolat di bilik-bilik belakang yang buruk."

Langkah yang diambil beliau menerima kritikan serta sokongan.

Masjid itu mungkin memainkan peranan kecil tetapi jumlah masjid-masjid seumpama itu kian bertambah dan sebahagian besarnya diasaskan oleh kaum wanita, lapor Washington Post.

TREND YANG MENULAR DI EROPAH

Di London, misalnya, Inisiatif Masjid Inklusif yang diasaskan kaum wanita membuka pintunya pada tahun 2012.

Para imam wanita secara rutin memimpin solat jemaah di ruang-ruang yang mengalu-alukan baik wanita mahupun lelaki tidak mengira latar belakang mereka - ini termasuk golongan homoseksual.

Yang terbaru, trend ini sudah menular ke masjid-masjid kecil dari California ke Switzerland hingga ke Denmark.

Kaum wanita dan lelaki lazimnya bersolat secara berasingan di masjid-masjid. Sesetengah pihak mendakwa bahawa al-Quran tidak secara jelas menyuruh wanita dan lelaki bersolat berasingan namun sesetengah yang lain mengatakan suara wanita tidak boleh kedengaran semasa bersolat, lapor laman Washington Post.

Sekalipun begitu, kaum wanita dikatakan pernah mengimamkan solat pada zaman dahulu dan para aktivis hak wanita Muslim seringkali mencabar norma-norma agama.

Sebelum ini, seorang feminis bernama Amina Wadud menarik perhatian antarabangsa, khususnya masyarakat muslim, apabila wanita Amerika itu menjadi imam solat Jumaat kepada 100 orang lelaki dan perempuan di New York pada tahun 2005. 

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan