Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos umumkan Tahun 2018 digelar Tahun Bertindak untuk Iklim di S'pura

Tahun 2018 akan digelar sebagai Tahun Bertindak untuk Iklim ataupun Year of Climate Action di Singapura dengan pelbagai usaha dalam perancangan bagi memperkukuhkan daya tahan negara ini menentang perubahan iklim.

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos umumkan Tahun 2018 digelar Tahun Bertindak untuk Iklim di S'pura

Encik Masagos Zulkifli membuat ucapan ketika di Bonn tahun lalu. Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook

BONN, JERMAN: Tahun 2018 akan digelar sebagai Tahun Bertindak untuk Iklim ataupun Year of Climate Action di Singapura dengan pelbagai usaha dalam perancangan bagi memperkukuhkan daya tahan negara ini menentang perubahan iklim.

Langkah ini adalah sebahagian tindakan Singapura untuk memupuk kesedaran tentang perubahan iklim di kalangan warga Singapura dan merangsang mereka untuk bertindak bersama-sama.

Demikian diumumkan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Encik Masagos Zulkifli dalam Kenyataan Nasional Singapura di Konvensyen ke-23 Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP-23). Konvensyen tersebut berlangsung di Bonn, Jerman hari ini (16 Nov).

Beliau turut mengumumkan bahawa Singapura akan menyertai Perisytiharan Menteri mengenai Pasaran Karbon. Beliau menekankan kepentingan kaedah antarabangsa dalam menambah nilai kepada usaha mengurangkan karbon di bawah Perjanjian Paris.

S'PURA HARUS TERUS GIAT SEMAT SIKAP PEDULI TERHADAP IKLIM

Encik Masagos menarik perhatian bahawa Singapura disenaraikan sebagai negara paling mampan di Asia, dan di kedudukan kedua di dunia menurut Senarai Bandar-Bandar Mampan 2016.

Namun, negara yang rentan dari segi perubahan iklim ini harus terus giat menyematkan sikap peduli terhadap perubahan iklim di kalangan rakyat dan menggesa mereka untuk bertindak.

Oleh itu, Encik Masagos mengumumkan tahun hadapan sebagai Tahun Bertindak untuk Iklim sambil mengemukakan beberapa usaha yang sedang maupun yang bakal dijalankan.

Video ucapan Encik Masagos di COP-23. (Sumber: Masagos Zulkifli/Facebook)

Di antaranya adalah rancangan Kajian, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2020 yang dilakarkan bagi memacu sektor huraian perbandaran dan kemampanan.

Selain itu, Singapura juga bakal menambah sistem tenaga surianya menjelang 2020. Ini berikutan pelancaran panel solar yang terbesar di dunia di salah sebuah kolam air di Singapura. Dalam beberapa tahun lagi, kolam air di negara kecil ini bukan sahaja merupakan sumber air bagi rakyatnya tetapi juga berpotensi menjadi bekalan elektrik.

Tambahan pula, dalam sebulan lagi, program perkongsian kenderaan elektrik akan diperkenalkan buat julung-julung kalinya di Singapura. Sebanyak 1,000 kereta elektrik akan ditampilkan dan bilangan ini akan ditambah secara bertahap-tahap menjelang 2020.

Usaha-usaha demikian akan turut dilanjutkan di peringkat serantau dan antarabangsa.  

Sumber : BERITA Mediacorp/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan