Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mangsa tsunami Aceh pilu setiap kali Ramadan tiba

Setiap kali menjelang Ramadan, Nia Daniati Insya, 32 tahun, pasti sebak bila teringatkan empat insan kesayangannya yang meninggal dunia ketika tsunami melanda Aceh 13 tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Mangsa tsunami Aceh pilu setiap kali Ramadan tiba

Sebuah masjid di Banda Aceh, Indonesia menyusuli bencana Tsunami (Gambar: AFP / Joel SAGET)

Diterbitkan : 28 May 2017 03:45PM Dikemas Kini : 28 May 2017 04:30PM

BANDA ACEH: Setiap kali menjelang Ramadan, Nia Daniati Insya, 32 tahun, pasti sebak bila teringatkan empat insan kesayangannya yang meninggal dunia ketika tsunami melanda Aceh 13 tahun lalu.

Mengimbas semula tragedi tsunami itu, Nia Daniati yang berusia 19 tahun ketika kejadian itu berkata beliau berada di rumah ibu saudaranya di Banda Aceh untuk membuat persiapan kenduri mengerjakan haji.

"Ibu bapa saya dan dua adik-beradik saya yang berada di kampung lain meninggal dunia dalam tragedi itu. Cuma saya dan seorang adik yang terselamat kerana berada di rumah ibu saudara dan berlindung di tingkat atas rumah ketika itu.

"Ia meninggalkan keperitan yang sangat dalam buat saya namun sebagai umat Islam, saya percaya ia adalah ujian Allah untuk hambaNya yang terpilih. Kami di Aceh terus segera bangkit dan membina semula kehidupan baru...Alhamdulillah tragedi itu membuka mata dunia untuk mengenali Aceh dan sama-sama menghulurkan pelbagai bantuan untuk kami," kata ibu kepada dua anak itu.

Nia Daniati ditemui Bernama dalam lawatan sempena Kembara Dakwah Media Terengganu selama empat hari ke kawasan yang pernah dilanda tsunami itu bermula Khamis (25 Mei).

NEKAD CURAH KASIH SAYANG KEPADA ANAK YATIM PIATU

Beliau yang kini menjadi pengurus di Panti Asuhan (rumah anak yatim) Media Kasih Banda Aceh berkata sejak tragedi itu, beliau nekad mahu menghabiskan sisa hidupnya untuk melakukan kerja-kerja amal dan mencurahkan sepenuh kasih dan sayang kepada anak-anak yatim di wilayah itu.

Panti asuhan itu dibangunkan pada Februari 2005 dan diuruskan oleh lima wanita sepenuh masa yang mana sumber kewangan mereka adalah hasil derma daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib mangsa tsunami ketika itu.

Lebih 150 anak-anak mangsa tsunami pernah tinggal di situ sejak 2004 dan ramai antara mereka kini sudah bekerja sebagai jururawat, kakitangan pemerintah dan bekerja di sektor swasta.

Nia Daniati berkata ketika ini hanya 50 anak yatim mendapatkan perlindungan di rumah kebajikan itu dan dua daripadanya ialah anak-anak mangsa tsunami yang terselamat dalam tragedi dahsyat itu.

"Dalam serba kekurangan, kami penjaga di sini akan memastikan kesemua mereka mendapat asuhan sempurna seperti yang disyariatkan Islam.

"Malah, paling membanggakan kami apabila ramai antara mereka kini bergelar peniaga dan kebanyakan mereka turut sama-sama menghulurkan sumbangan kewangan dan tenaga untuk panti asuhan ini.

LIHAT AIR HITAM MENERPA RUMAH PENDUDUK

Turut berkongsi detik cemas ialah Wahyu Ulul Amri Suhardi, 19 tahun, dua daripada penghuni panti asuhan yang merupakan mangsa tsunami yang masih tinggal di rumah kebajikan tersebut.

"Pada hari kejadian, saya bersama kakak, adik, ibu dan ayah sedang dalam perjalanan ke rumah nenek...tidak sempat sampai ke rumah nenek, saya mendengar orang menjerit bertempiaran lari ke sana sini menyelamatkan diri.

"Sedar-sedar saya diselamatkan oleh orang lain dan membawa saya naik ke tempat tinggi...saya hanya melihat air yang hitam menerpa rumah-rumah penduduk di bawah...saya kehilangan ibu, ayah dan adik saya.

"Tapi kakak saya segera ditemui terlekat di atas pokok selepas peristiwa berkenaan," katanya yang berusia enam tahun ketika itu.

Kembara yang dianjurkan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil itu bertujuan meninjau proses pembangunan semula Aceh selepas tragedi tsunami pada tahun 2004.

Sumber : Bernama/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan