Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Majlis agama Perlis bina 5 masjid, puluhan telaga di kem pelarian Rohingya

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membina lima masjid dan puluhan telaga di kawasan kem pelarian Rohingya Cox's Bazar di Bangladesh.

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis agama Perlis bina 5 masjid, puluhan telaga di kem pelarian Rohingya

Para pelarian Rohingya beratur bagi bantuan di Cox's Bazar, Bangladesh. (Gambar: REUTERS/Cathal McNaughton)

Diterbitkan : 17 Oct 2017 04:47PM Dikemas Kini : 17 Oct 2017 04:49PM

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membina lima masjid dan puluhan telaga di kawasan kem pelarian Rohingya Cox's Bazar di Bangladesh.

Muftinya Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang membuat lawatan ke kem itu berkenan merasmikan pembukaan masjid tersebut malam tadi.

Catatan terkini laman sosial Facebook Dr Asri menyatakan beliau amat kagum dengan sambutan yang diberikan oleh pelarian yang hadir beramai-ramai untuk solat berjemaah di masjid itu.

Beliau turut memberi tazkirah kepada mereka yang hadir menggunakan bahasa Inggeris dan diterjemah ke dalam bahasa yang lebih difahami masyarakat Rohingya.

"Apabila saya membaca ayat-ayat suci al-Quran dan meminta mereka respons dengan ayat-ayat yang dibaca, mereka menyambung bacaan dengan baik. 

"Ini bermakna walaupun hidup dalam penuh penderitaan dan kesengsaraan, mereka tidak pernah tinggal membaca al-Quran," kata Dr Asri dalam catatannya itu.

Turut sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Nor serta pemimpin beberapa badan sukarela lain yang mengiringi Raja Muda yang juga Yang Dipertua MAIPs dalam lawatan dua hari itu ke kawasan tersebut.

Sumbangan segera buat pelarian di situ ialah bekalan makanan, di samping merancang untuk membantu hospital di Cox's Bazar yang terlalu daif dan serba kekurangan.

"Keadaan di hospital tersebut amat menyedihkan dan menyayat hati. Ruang dan kemampuan hospital sangat terhad sedangkan ia terpaksa menampung jumlah pesakit yang berlipat ganda," katanya.

Sumber : Bernama/FA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan