Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mahathir perlu perjelas pendirian mengenai Anwar, kata Najib

Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau masih kekal dan konsisten dengan kenyataannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan perbuatan di luar tabii seperti didakwanya pada 1998, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahathir perlu perjelas pendirian mengenai Anwar, kata Najib

Perdana Menteri Najib Razak memberi ucapan semasa berada di Jepun. (Gambar: AFP/Kimimasa Mayama/Pool/AFP)

Diterbitkan : 16 Jul 2017 10:15PM Dikemas Kini : 16 Jul 2017 10:17PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau masih kekal dan konsisten dengan kenyataannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan perbuatan di luar tabii seperti didakwanya pada 1998, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Banyak persoalan berlegar dalam kepala orang ramai. Pertamanya, adakah Dr Mahathir masih kekal dengan kenyataan lamanya pada 1998 yang dia tuduh Anwar melakukan perbuatan luar tabii.

"Sehinggakan dia kata Anwar ini pemimpin yang tidak ada maruah, oleh itu tidak boleh memimpin negara.

"Semua itu kini menjadi persoalan besar rakyat, sama ada tuduhan itu tidak betul pada asalnya, ataupun beliau sanggup korbankan prinsip lamanya (demi politik), " katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dalam sidang media pada 22 Sept 1998 yang dibuat Dr Mahathir, perdana menteri keempat itu mendakwa Anwar terlibat dalam perbuatan liwat dan seorang peliwat tidak layak menjadi pemimpin negara.

Najib menjelaskan, selagi semua itu tidak dijawab Dr Mahathir, orang ramai akan sangsi dan bahawa ini adalah hanya permainan dan sandiwara politik yang tiada keikhlasan.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata walaupun ada segelintir pihak yang tidak senang hati dengan UMNO dan kerajaan, pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan untuk membawa negara ke tahap yang membanggakan.

Jelasnya, situasi ini adalah lebih baik berbanding kem pembangkang yang masih tidak jelas dan kelam- kabut dalam menentukan siapa yang mempunyai kuasa penentu manakala hala tuju politik masih tidak jelas.

Mengenai sambutan Rumah Terbuka hari ini, Najib yang juga presiden UMNO berkata sambutan luar biasa daripada masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan adalah satu tanda keyakinan berterusan kepada parti dan kerajaan.

"Mereka datang berpusu-pusu dari pagi dan ingin bersama UMNO. Satu gambaran jelas hubungan parti dan rakyat yang tiada tembok pemisah.

"Ini kerana mereka tahu mereka boleh bersalam-salaman, berselfie dengan pemimpin UMNO. Sebagai pemimpin, kita ingin lebih rapat dan mesra dengan rakyat," katanya. 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan