Images
  • Riot msia
    (Gambar: mynewshub.cc)

M'sia umum gaji minimum baharu pada 2018, berbanding paras RM1,000 dan RM920 sekarang

PUTRAJAYA: Gaji minimum baharu bagi Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan akan diumumkan pada tahun hadapan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Langkah itu bagi merapatkan jurang gaji minimum swasta agar ia dapat diselaraskan, di mana kadar gaji minimum bulanan pekerja di Semenanjung Malaysia adalah RM1,000 manakala RM920 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, tambah beliau.

Beliau berkata Majlis Perundingan Gaji Negara (MGPN) sudah mula menyediakan perancangan untuk mengkaji semula Perintah Gaji Minimum 2016 bagi membolehkan kerajaan menetapkan kadar gaji minimum baharu selaras dengan perkembangan sosio ekonomi semasa negara.

PERINTAH GAJI MINIMUM HARUS DISEMAK SETIAP DUA TAHUN

"Kita tahu perintah gaji minimum hendaklah dikaji sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun. Proses kajian semula ini untuk melihat kepada keupayaan majikan membayar gaji merupakan satu tanggungjawab yang sangat mencabar dalam memastikan dasar gaji minimum memenuhi semua objektif.

Dengan penubuhan kumpulan penyelidik gaji dan gaji minimum ini, ia akan memberi kesan positif bagi membolehkan kerajaan menyediakan perlindungan sosial yang mencukupi kepada pekerja di seluruh negara.

Penguatkuasaan gaji minimum adalah aspek penting untuk memberi manfaat kepada warta pekerja terutama golongan berpendapatan rendah dalam kategori B40," kata Encik Riot.

Encik Riot berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 25 anggota Majlis Perundingan Gaji Negara yang dilantik bagi tempoh 1 Okt tahun ini hingga 30 Sept 2020 bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar gaji minimum.

SEMAKAN AMBIL KIRA FAKTOR LAIN

Menurutnya, jurang merapatkan gaji minimum antara pekerja di Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan semakin boleh direalisasikan dengan lantikan buat kali pertama dua anggota MPGN masing-masing daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah.

"Semakan itu mengambil kira bebanan kos sara hidup, di samping kos operasi yang perlu ditanggung majikan yang berjaya mengurangkan jurang pendapatan di Malaysia.

Kalau dahulu, gaji minimum di Semenanjung adalah RM900 manakala Sabah, Sarawak dan Labuan ialah RM800. Pada 2016, kita kurangkan jurang itu (apabila gaji minimum dinaikkan) kepada RM1,000 (Semenanjung) dan RM920 ( Sabah, Sarawak dan Labuan).

Pada satu hari nanti, gaji kedua-dua kategori ini akan menjadi sama. Itulah yang sedang dikaji oleh Jawatankuasa Teknikal Penyelarasan Gaji dan MGPN sebelum dibentangkan kepada Kabinet," katanya.

Dalam pada itu, Riot berkata setakat Jun ini, sebanyak 98 peratus majikan daripada 142,151 pemeriksaan berkanun yang dibuat oleh Jabatan Tenaga Kerja didapati mematuhi Perintah Gaji Minimum. 

- BERNAMA/AQ/aq

Komen Anda?

Top