Images
  • beauty and the beast poster
    (Gambar: Laman Facebook Disney) 

M'sia tidak benarkan 'Beauty and the Beast' disiar selagi adegan gay tidak ditapis

KLUANG: Kerajaan Malaysia tetap tidak akan membenarkan tayangan filem 'Beauty and the Beast' jika Walt Disney enggan menapis adegan gay seperti yang dicadangkan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Demikian kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Tegasnya, Malaysia mempunyai undang-undang dan budaya tersendiri yang perlu dihormati Walt Disney.

"Apa-apa filem berkenaan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) ini tidak akan dibenarkan kerana setiap unsur dalam wayang itu (dikhuatiri) akan mempengaruhi kita dan belum tentu memberi manfaat kepada pembangunan negara," katanya kepada pemberita hari ini (18 Mac).

Beliau mengulas isu filem Beauty and the Beast yang ditangguhkan tayangannya di negara itu susulan unsur LGBT dalam filem terbitan Walt Disney itu.

"SEOLAH-OLAH WALT DISNEY JADI PEJUANG LGBT"

Mengulas lanjut, Datuk Nur Jazlan juga mempertikaikan keengganan Walt Disney bekerjasama dengan LPF untuk memotong babak gay dalam filem tersebut dan menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah menunjukkan "Walt Disney menjadi pejuang LGBT".

"Mereka boleh berbuat demikian (tidak mahu memotong adegan) kerana pasaran Malaysia ini kecil... kalau tidak ditayangkan dalam panggung pun mereka tidak rugi banyak.

"Cuba kalau di China, Rusia atau Amerika Syarikat, sudah tentu mereka tunduk akan kehendak budaya negara tersebut tetapi kerana Malaysia ini kecil, mereka seolah-olah mahu jadi hero," katanya.

Filem itu yang sepatutnya ditayangkan di seluruh negara mulai semalam (17 Mac) terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat kontroversi mengenai orientasi seks watak LeFou yang terdedah pada babak tarian di akhir filem berkenaan.

Walt Disney dilaporkan sudah menghantar satu rayuan kepada LPF semalam untuk menilai semula keputusan memotong babak berkenaan. 

LAPORAN BERKAITAN:

Pengharaman menyeluruh 'Beauty and the Beast' tidak masuk akal, kata Nazri Aziz

Tayangan Beauty and the Beast ditangguhkan buat tempoh masa belum dipastikan di M'sia

- Bernama/nd

Komen Anda?

Top