Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia tidak akan bantah jika Mugabe dapatkan rawatan kesihatan

Kerajaan tidak akan menyekat atau membantah sekiranya Presiden Zimbabwe Robert Mugabe berhasrat datang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan kesihatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia tidak akan bantah jika Mugabe dapatkan rawatan kesihatan

Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 19 Nov 2017 04:56PM Dikemas Kini : 19 Nov 2017 04:58PM

BAGAN DATUK: Kerajaan tidak akan menyekat atau membantah sekiranya Presiden Zimbabwe Robert Mugabe berhasrat datang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan kesihatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pendirian itu selaras dengan hasrat kerajaan yang giat mempromosikan pelancongan kesihatan di negara ini kepada masyarakat antarabangsa.

"Kita tiada bantahan. Kita (Malaysia) tidak sesekali mencampuri urusan dalaman negara lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)  di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang. 

Program fasa kedua itu dianjurkan oleh Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang menyatakan Mugabe, yang berdepan tekanan untuk meletakkan jawatan, dan isterinya Grace mungkin mengunjungi Singapura atau Malaysia. 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata : "Itu hanya laporan, saya belum mendapat laporan yang beliau akan datang Malaysia atau negara jiran". 

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri mengesahkan presiden Zimbabwe yang berumur 93 tahun itu sudah beberapa kali datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital swasta di ibu negara.

"Kalau beliau mahu dapatkan rawatan lanjut, mungkin beliau akan datang (ke Malaysia) atau memilih negara lain.

"Berdasarkan rekod yang ada, sejak 10 tahun kebelakangan ini tidak kurang tiga kali beliau (Mugabe) mendapatkan rawatan di Malaysia," kata Ahmad Zahid.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan