Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M’sia akan bina hospital di Bangladesh bantu pelarian Rohingya

Malaysia akan membina hospital bernilai RM3.5 juta (S$1.12 juta) di kem pelarian yang menempatkan kaum Rohingya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anggaran Waktu Membaca:
M’sia akan bina hospital di Bangladesh bantu pelarian Rohingya

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Zahid Hamidi di Bangladesh bersama pelarian Rohingya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Oct 2017 09:15AM Dikemas Kini : 17 Oct 2017 09:18AM

COX’S BAZAR (Bangladesh): Malaysia akan membina hospital bernilai RM3.5 juta (S$1.12 juta) di kem pelarian yang menempatkan kaum Rohingya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina hospital itu yang di peringkat awal boleh memuatkan kira-kira 50 orang pesakit dengan adanya 50 katil di hospital berkenaan.

“Kami telah pun mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri Bangladesh sendiri Sheikh Hasina dan kelulusan ini telah diberikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur pada saya dan ATM dan Kementerian Kesihatan. Ketika ini, kerajaan sedang menunggu prosedur yang ditentukan oleh pemerintah Bangladesh untuk membenarkan pembinaan hospital itu,” katanya pada sidang media selepas melawat Kem Pelarian Kutupalong, kira-kira 35 kilometer dari Cox's Bazaar.

Katanya hospital itu akan dibina dalam tempoh sebulan selepas proses prosedur itu dan Kementerian Kesihatan akan membantu dari segi kepakaran doktor, jururawat dan pembantu perubatan yang akan berada di sini.

“Hospital ini akan mempunyai seramai 35 orang tenaga perubatan seperti doktor, pembantu hospital dan jururawat . Dalam tempoh sebulan (selepas dibina) hospital itu akan beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Encik Ahmad Zahid berkata dari segi jangka panjang, Malaysia, Bangladesh dan negara lain serta organisasi antarabangsa akan mencari penyelesaian untuk memuktamadkan masalah pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh.

Katanya perkara itu merupakan antara yang dibincangkan dengan Menteri Luar Bangladesh, Abul Hasan Mahmod Ali di Dhaka, Ahad.

Krisis kemanusiaan semakin memuncak di wilayah Rakhine, Myanmar dengan semakin ramai etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh setiap hari dan semakin banyak kem pelarian diwujudkan.

Jumlah sebenar pelarian tidak dapat dipastikan tetapi ada banyak pihak mendakwa ia melebihi sejuta orang.

Encik Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Bangladesh sejak Ahad. Pada Ahad beliau mengadakan pertemuan dengan Abul Hasan dan Menteri Kebajikan Expatriat dan Pekerja Luar Negara Nurul Islam di Dhaka.

Timbalan Perdana Menteri itu turut mengadakan pertemuan dengan pasukan hoki Malaysia yang sedang beraksi dalam Piala Asia di Dhaka. 

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan