Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Letupan gegar stesen kereta api Brussels, suspek ditembak mati

Beberapa askar Belgium menembak mati seorang suspek pengganas setelah satu letupan menggegarkan stesen kereta api di Brussels pada Selasa (20 Jun) dalam serangan terbaru yang melanda Eropah.

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan gegar stesen kereta api Brussels, suspek ditembak mati

Api yang dilihat di stesen kereta api di Brussels, Belgium. (Gambar: Twitter/@remybonnaffe/via REUTERS)

Diterbitkan : 21 Jun 2017 08:28AM Dikemas Kini : 21 Jun 2017 08:35AM

BRUSSELS: Beberapa askar Belgium menembak mati seorang suspek pengganas setelah satu letupan menggegarkan stesen kereta api di Brussels pada Selasa (20 Jun) dalam serangan terbaru yang melanda Eropah.

Para saksi berkata suspek itu berteriak "Tuhan maha besar" sebelum mencetuskan letupan itu. Media tempatan menyatakan individu itu juga mengaktifkan sebuah tali pinggang yang boleh diletupkan.

Pihak berkuasa mendedahkan tiada mangsa dilaporkan, selain penyerang yang maut dalam insiden tersebut.

Para penumpang yang sedang menangis dipindahkan dari stesen berkenaan sedang bandar yang menjadi tuan rumah kepada ibu pejabat Kesatuan Eropah itu, dilanda serangan baru lebih setahun setelah beberapa pengebom nekad menyerang lapangan terbang dan sistem kereta api di bandar itu.

"Ini disifatkan sebagai serangan pengganas," kata jurucakap pejabat pendakwa persekutuan Eric Van Der Sypt di sidang media di luar stesen Gare Centrale.

Para pegawai polis dan askar di kawasan yang dikepung di luar Gare Centrale di Brussels, setelah berlakunya letupan di ibu kota Belgium. (Gambar: THIERRY ROGE/AFP)

Para pegawai polis dan askar di kawasan yang dikepung di luar Gare Centrale, Brussels, setelah berlakunya letupan di ibu kota Belgium. (Gambar: THIERRY ROGE/AFP)

Insiden tersebut turut berlaku di Belgium sehari selepas seorang lelaki merempuh para jemaah Islam di luar sebuah masjid di London, dan seorang individu radikal, yang tersenarai sebagai pengganas yang diawasi, merempuh sebuah kereta yang padat dengan senjata ke arah sebuah van polis di Paris.

Brussels terus berwaspada sejak beberapa pengebom nekad menyerang lapangan terbang dan sistem kereta api bandar itu pada Mac 2016, yang menyebabkan 32 orang maut dan beratus-ratus lain cedera.

Kumpulan ISIS mengaku bertanggungjawab atas serangan-serangan tersebut, yang dijalankan oleh kumpulan sama yang berpangkalan di Brussels, yang mendalangi serangan di Paris pada November 2016, di mana 130 orang dilaporkan maut.

Encik Van Der Sypt mendedahkan pada sekitar 1830 GMT terdapat "letupan kecil di Central Station di Brussels."

"Suspek itu ditangkap oleh pihak tentera yang berada di tempat kejadian sejurus selepas letupan berkenaan," kata jurucakap itu. "Dia sudah meninggal dunia." Tiada mangsa lain dilaporkan, menurut Encik Van Der Sypt.

Encik Eric Van Der Sypt bertemu pihak media di luar Gare Centrale di Brussels. (Gambar: THIERRY ROGE/BELGA/AFP)

Encik Eric Van Der Sypt bertemu pihak media di luar Gare Centrale di Brussels. (Gambar: THIERRY ROGE/BELGA/AFP)

Insiden berkenaan berlaku selepas waktu sibuk, tetapi beratus-ratus penumpang tetap dipindahkan dari salah sebuah stesen paling sibuk di Belgium. Grand Place, iaitu sebuah tarikan pelancong utama, turut dikosongkan.

"Orang ramai menangis, orang ramai juga terpekik," kata Elisa Roux, seorang jurucakap bagi syarikat kereta api SNCB Belgium.

Gambar-gambar di media sosial menunjukkan bebola api yang marak di sebuah dewan ketibaan bawah tanah yang hampir kosong.

"Saya turun ke tingkat mezzanine, seseorang sedang menjerit. Kemudian dia berteriak 'Tuhan maha besar' dan meletupkan sebuah troli," kata Encik Nicolas Van Herrewegen, seorang ejen pengendalian kereta api itu.

"Saya berada di belakang tembok apabila ia meletup. Saya turun dan memaklumkan rakan-rakan sekerja saya untuk memindahkan orang ramai. Dia (suspek itu) masih berada di tempat tersebut tetapi kami tidak melihatnya selepas itu."

Para askar dan pegawai polis di luar Gare Centrale di Brussels. (Gambar: Emmanuel DUNAND/AFP)

Para askar dan pegawai polis di luar Gare Centrale di Brussels. (Gambar: Emmanuel DUNAND/AFP)

Encik Herrewegen turut berkata: "Ia bukan satu letupan yang benar-benar besar tetapi impaknya agak besar. Orang ramai lari bertempiaran."

Beliau menggambarkan suspek berkenaan sebagai bertubuh sasa dan berambut pendek, sambil mengenakan sehelai kemeja T putih dan seluar jeans. "Saya ternampak dia mempunyai sesuatu pada badannya kerana saya dapat melihat beberapa wayar, jadi ia mungkin jaket bom," kata Encik Van Herrewegen.

Para pendakwa memberitahu Libre Belgique bahawa individu berkenaan sedang membawa beg galas dan tali pinggang yang boleh diletupkan, sebelum ditembak.

Laporan berkenaan juga mendedahkan suspek itu meletupkan tali pinggang tersebut sebaik saja perhatian tentera itu tertumpu kepadanya.

Sumber : Agensi berita/CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan