Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki warga emas ditahan cuba seludup dadah ke lokap

Polis menahan seorang lelaki warga emas ketika cuba menyeludup dadah ke dalam lokap Balai Polis Kluang pada Rabu (8 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki warga emas ditahan cuba seludup dadah ke lokap

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 12 Nov 2017 09:02AM Dikemas Kini : 12 Nov 2017 09:07AM

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki warga emas ketika cuba menyeludup dadah ke dalam lokap Balai Polis Kluang pada Rabu (8 Nov).

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata lelaki berusia 60 tahun itu datang ke balai polis berkenaan kira-kira 11.00 pagi dengan alasan mahu menyerahkan beg kepada anak perempuannya yang ditahan di dalam lokap atas kesalahan dadah.

"Hasil pemeriksaan beg itu, anggota Pejabat Pertanyaan Balai Polis Kluang menemui seunit power bank di dalamnya mengandungi sepaket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 13.98 gram dan sepaket plastik lut sinar berisi dadah jenis syabu seberat 0.98 gram dianggar bernilai hampir RM1,500 (S$490)," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Encik Mohamad berkata ujian saringan air kencing mendapati warga emas tersebut positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Lelaki itu ditahan reman sehingga 15 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Dalam kes lain, Encik Mohamad berkata pihaknya percaya sudahpun menumpaskan kegiatan curi motosikal di sekitar bandar itu dengan penahanan tujuh remaja lelaki dan dua perempuan berusia 13 hingga 18 tahun, pada Selasa dan Rabu lepas.

Beliau berkata polis berjaya menahan mereka selepas penahanan pertama terhadap dua remaja lelaki yang disyaki terlibat mencuri motosikal di Taman Sri Jaya, Kluang, kira-kira 4.00 pagi, kelmarin.

Beliau berkata hasil soal siasat, polis berjaya menahan tiga lagi remaja lelaki dan dua remaja perempuan berusia 13 hingga 18 tahun pada 6.30 pagi, hari yang sama, di sebuah rumah di Bandar Seri Impian, Kluang dan seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun, kira-kira 8.30 pagi, di sebuah rumah di Taman Bersatu, Kluang," katanya.

Menurut Encik Mohamad, daripada soal siasat juga, polis berjaya menahan seorang lagi remaja lelaki 14 tahun pada 6.00 petang di sebuah warung di Kampung Melayu, Kluang, pada Rabu.

Beliau berkata kesemua yang ditahan negatif terhadap dadah, namun, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

"Selain penahanan, polis turut merampas sejumlah barang bernilai RM4,000 (S$1,300) termasuk pemotong besi, tiga motosikal dan pelbagai jenis peralatan untuk meleraikan komponen motosikal," katanya.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 15 November bagi siasatan mengikut Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan motor. 

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan