Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki tetak mati nenek, cederakan bapa mentua, isteri

Seorang lelaki Orang Asli yang mendakwa dirinya ''tidak sihat'' menetak mati neneknya selain mencederakan bapa mentua dan mencucuh muka isterinya dengan bara api.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki tetak mati nenek, cederakan bapa mentua, isteri

Gambar hiasan. (Gambar: ROBERTO SCHMIDT / AFP)

Diterbitkan : 20 Jun 2017 07:26PM Dikemas Kini : 20 Jun 2017 07:27PM

KUANTAN: Seorang lelaki Orang Asli yang mendakwa dirinya ''tidak sihat'' menetak mati neneknya selain mencederakan bapa mentua dan mencucuh muka isterinya dengan bara api dalam kejadian di sebuah perkampungan Orang Asli di Pos Lejang di Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azry Akmar Ayob berkata kejadian pada kira-kira 8.00 pagi itu berlaku apabila suspek yang berusia 32 tahun pergi rumah neneknya berusia 76 tahun untuk makan, namun dimaklumkan rumah itu tidak mempunyai makanan.

"Mangsa (nenek) memberitahu mahu membawa suspek berubat kerana melihat kelakuannya yang agresif. Suspek kemudiannya masuk ke rumah dan mengambil parang lalu melibasnya di belakang leher mangsa menyebabkannya terus rebah," katanya kepada wartawan hari ini (20 Jun).

Encik Azry Akmar menambah suspek yang bekerja sendiri itu kemudiannya berlari ke rumahnya yang terletak kira-kira 600 meter dari tempat kejadian dan menetak bapa mentuanya di belakang badan dan di leher.

Lelaki berumur 56 tahun itu katanya bergelut dengan suspek dalam keadaan cedera sebelum dibantu seorang pemuda kampung yang berjaya menangkap suspek dan mengikat tangan serta kakinya sementara menunggu ketibaan polis.

Encik Azry Akmar berkata sebelum kejadian itu, suspek mencucuh muka isterinya yang berumur 21 tahun menggunakan bara api semasa wanita itu datang ke rumah kakak suspek untuk melihat suaminya itu yang dikatakan pengsan.

"Suspek ke rumah kakaknya selepas bangun tidur pada pukul 8.00 pagi semalam untuk makan, namun mendakwa timbul satu perasaan yang menyebabkan dirinya tidak tentu arah sebelum pengsan sebaik sahaja tiba di rumah kakaknya.

"Isteri suspek datang untuk melihat keadaannya namun melarikan diri selepas mukanya dicucuh dengan bara api yang digunakan untuk memasak. Suspek kemudiannya bergerak ke rumah neneknya yang terletak 100 meter dari situ," katanya.

Encik Azry Akmar berkata suspek ditahan pada 3.50 petang semalam memandangkan perkampungan Orang Asli itu terletak 40 kilometer dari bandar dan hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan masa perjalanan tiga jam.

"Mayat dibawa ke Hospital Lipis dan bedah siasat akan dilakukan hari ini, manakala isteri dan bapa mentua suspek juga menerima rawatan di hospital sama. Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis dan akan direman hari ini," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. 

Sumber : Bernama/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan