Images
  • bath tub
    (Gambar hiasan: DON EMMERT / AFP)

Lelaki maut ketika mengecas telefon bimbit dalam bilik air

LONDON: Kes berikut ini memaparkan lagi bahaya mengecas alat elektronik ketika ia diletakkan berhampiran air, seperti dalam bilik air.

Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang mengecas telefon bimbit iPhone semasa sedang berendam dalam tab mandi di Ealing, London, lapor akhbar The Sun.

Encik Richard Bull, 32 tahun, dipercayai menyambungkan pengecasnya pada perentas pemanjangan yang diletakkan di koridor rumahnya.

Dia kemudian meletakkan telefon itu di atas dadanya ketika sedang dalam tab mandi, sambil menggunakan telefon bimbit tersebut.

Menurut The Sun, akibat pengecas telefon itu terkena air, Encik Bull terkena renjatan elektrik dan mengalami kelecuran teruk pada dada, lengan dan tangannya, dan meninggal dunia pada 11 Disember lalu.

Punca kematiannya itu didedahkan dalam satu siasatan koroner di London.

Penolong koroner, Dr Sean Cummings, akan menulis laporan mengenai cara mencegah kematian sedemikian pada masa hadapan kepada syarikat Apple, menurut BBC.

Persatuan Diraja bagi Pencegahan Kemalangan (Rospa) memberitahu BBC bahawa orang ramai harus mengelak daripada menggunakan mana-mana alat elektronik di dalam bilik air.

Ini terutamanya jika alat itu disambungkan dengan litar elektrik utama.

"Anda tidak dinasihati menggunakan (telefon) ketika ia disambungkan (pada litar elektrik), terutamanya di dalam bilik air," tambahnya. 

- Agensi berita/nd

Komen Anda?

Top
>