Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki ini tawaf Kaabah 700 kali tapi tidak tunai haji

Adham Al-Hawwash, seorang rakyat Saudi pertengahan usia, sudah bertawaf keliling Kaabah sekitar 700 kali pada musim haji kali ini. Tapi, dia tidak menunaikan ibadah haji.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ini tawaf Kaabah 700 kali tapi tidak tunai haji

Jemaah haji tawaf mengelilingi Kaabah di Makkah. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Sep 2017 08:34PM Dikemas Kini : 06 Sep 2017 08:36PM

MAKKAH: Adham Al-Hawwash, seorang rakyat Saudi pertengahan usia, sudah bertawaf keliling Kaabah sekitar 700 kali pada musim haji kali ini. Tapi, dia tidak menunaikan ibadah haji.

"Saya menyewakan kerusi roda kepada para jemaah dan menolak mereka tujuh kali mengelilingi Kaabah. Inilah mata pencarian saya," kata beliau.

Menurut Encik Adham, beliau berasa terpanggil untuk mengelilingi Kaabah bagi membantu warga tua atau orang kurang upaya menjalankan ibadah tawaf.

Disebabkan itu, beliau sendiri tidak mempunyai masa untuk menunaikan haji, lapor Saudi Gazette.

Menurut Encik Adham, beliau tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membolehkan dirinya menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Maka, beliau perlu bekerja keras untuk menyara keluarga.

Beliau memulakan tugas itu beberapa tahun lalu atas nasihat ibunya, yang dahinya akan dikucup setiap kali beliau meninggalkan rumah. Melakukan tugas ini selama beberapa tahun bermakna, Encik Adham sebenarnya sudah 'bertawaf' sebanyak ribuan kali!

"Saya mengikat pinggang dengan sehelai kain untuk mengurangkan sakit belakang. Saya juga menyarung stokin tebal bagi mengelakkan sakit kaki," kata Encik Adham, yang berkongsi cara beliau membuat persiapan sebelum memulakan tugas.

Encik Adham berkata, sejauh ini beliau sudah menolak lebih 100 jemaah mengelilingi rumah Allah itu.

Beliau dibayar antara SR350 (S$130) dengan SR500 (S$180) bagi setiap jemaah, lapor Saudi Gazette.

Pemuda tersebut menambah, tugasnya mengikut musim dan kemuncaknya adalah pada bulan Ramadan dan musim haji apabila begitu ramai jemaah tiba di Masjidil Haram.

Encik Adham berkata, beliau turut memberi panduan doa-doa terbaik yang diamalkan Rasulullah kepada para jemaah yang mengambil khidmatnya.

"Menolak kerusi roda memerlukan cara tertentu, pengetahuan yang baik mengenai waktu sibuk dan penggunaan kekuatan tenaga yang seimbang bagi mengelakkan keletihan," ujar beliau.

Menurut Encik Adham, beliau memakan kurma dan pisang bagi mengekalkan tenaga yang diperlukan untuk menjalankan tugas, lapor Saudi Gazette. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan