Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki ditangkap didakwa acu pisau & paksa warga tua minum Coke

Seorang individu yang disyaki anggota kongsi gelap ditangkap setelah didakwa memaksa seorang warga tua meminum setin air Coke sambil mengacukan pisau ke arahnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ditangkap didakwa acu pisau & paksa warga tua minum Coke

Petikan gambar Google flat perumahan awam di Wong Tai Sin Hong Kong.

Diterbitkan : 11 Oct 2017 06:07PM Dikemas Kini : 16 Oct 2017 11:14PM

HONG KONG: Seorang individu yang disyaki anggota kongsi gelap ditangkap setelah didakwa memaksa seorang warga tua meminum setin air Coke sambil mengacukan pisau ke arahnya.

Polis menangkap individu berusia 44 tahun itu di sebuah rumah tamu yang terletak di Portland Street di Mongkok sekitar pukul 10.30 malam Isnin (9 Okt).

Dia ditangkap kerana memiliki senjata berbahaya, menurut laman South China Morning Post (SCMP).

Para pegawai kemudian melakukan serbuan ke atas rumah suspek di Wong Tai Sin keesokan harinya (10 Okt).

Lelaki itu dipercayai sebahagian daripada kumpulan kongsi gelap Sun Yee On. Dia juga berkerja sambilan sebagai pengawal di sebuah pusat hiburan di daerah Tsim Sha Tsui yang dikawal oleh seorang ketua yang dipanggil "Sai B", menurut SCMP.

Polis masih mencari lelaki tua yang menjadi mangsa itu, yang didakwa ditahan di persimpangan Arran Street dengan Canton Road di Mongkok oleh suspek sekitar pukul 5.00 petang pada Jumaat lalu (6 Okt).

Suspek mengacukan pisau pada mangsa dan mengarahkan beliau meminum setin air Coke. Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang pejalan kaki.

Suspek kemudian mencampakkan pisau tersebut ke lantai, merampas tin Coke itu daripada mangsa dan melarikan diri sebelum polis tiba. Mangsa juga meninggalkan lokasi kejadian, lapor SCMP.

Para pegawai percaya suspek sedang di bawah pengaruh dadah semasa insiden itu berlaku, lapor Apple Daily.

"Siasatan awal menunjukkan suspek adalah penagih dadah," menurut polis seperti yang ditukil SCMP. Polis percaya suspek membawa pisau untuk melindungi dirinya kerana dia meminjam wang daripada seseorang.

Sehingga Selasa (10 Okt), suspek masih ditahan untuk disoal siasat dan belum didakwa.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan