Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki ditangkap cuba rempuh orang ramai dengan kenderaannya di Belgium

Polis Belgium menangkap seorang lelaki setelah dia cuba merempuh kenderaannya ke arah orang ramai di kawasan beli-belah di bandar pelabuhan Antwerp hari ini (23 Mac), kata seorang jurucakap polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Mar 2017 09:46PM Dikemas Kini : 24 Mar 2017 09:53PM

BRUSSELS: Polis Belgium menangkap seorang lelaki setelah dia cuba memecut laju dan merempuh kenderaannya ke arah orang ramai di kawasan beli-belah di bandar pelabuhan Antwerp hari ini (23 Mac), kata seorang jurucakap polis.

Lelaki itu seorang warga Perancis keturunan Afrika Utara dan menggunakan sebuah kereta dengan nombor plat Perancis.

Dia dikenal pasti sebagai Mohamed R., 39 tahun, menurut kenyataan pejabat pendakwa raya persekutuan Belgium.

Menurutnya lagi, senapang, senjata-senjata pisau dan bekas mengandungi cecair yang belum dikenal pasti, ditemui dalam kereta lelaki berkenaan.

Insiden itu berlaku sehari selepas satu serangan terhadap parlimen Britain membunuh empat orang termasuk si penyerang. Hari ini juga merupakan hari ulang tahun pertama serangan di Brussels berlaku yang meragut 32 nyawa.

"Sebuah kenderaan dengan nombor plat Perancis cuba memandu dengan kelajuan tinggi di Meir (jalan kawasan membeli-belah). Seorang lelaki dengan pakaian penyamaran dibawa pergi," kata Encik Muyters di satu sidang media.

"Para pejalan kaki berjaya mengelak kereta itu," ujarnya.

"Saya ucapkan penghargaan saya bagi pihak semua di Antwerp, kepada para askar yang campur tangan, khidmat polis dan pasukan campur tangan khas," tulis datuk bandar Antwerp, Bart de Wever di Twitternya.

TERUS BERWASPADA

Perdana Menteri Charles Michel berkata kerajaan Belgium "memantau perkembangan situasi ini" di bandar utara berbahasa Flemish itu.

"Kami terus berwaspada. Khidmat keselamatan kami melakukan tugas yang cemerlang di Antwerp, terima kasih," tulisnya di Twitter.

Meir merupakan jalan kawasan beli-belah utama di pusat bersejarah Antwerp dan sebahagian besarnya terdiri daripada laluan-laluan pejalan kaki. Ia antara kawasan beli-belah paling penting di negara itu.

Dengan askar-askar dikerahkan di tempat-tempat utama, Belgium diletakkan pada tahap waspada tinggi sejak 22 Mac tahun lalu apabila para pengebom nekad menyerang lapangan terbang Zaventem dan stesen metro Maalbeek yang meragut lebih 32 nyawa dan mencederakan lebih 320 orang.

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan