Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah M'sia cabar isu Pedra Branca sekarang ini mungkin untuk "raih undi" jelang pilihan raya

Langkah Malaysia membangkitkan semula isu lama dengan Singapura tentang pulau Pedra Branca, mungkin percaturan politik menjelang pilihan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah M'sia cabar isu Pedra Branca sekarang ini mungkin untuk "raih undi" jelang pilihan raya

Peta Singapura, Pedra Branca dan Johor, Malaysia. (Grafik: Rafa Estrada)

Diterbitkan : 10 Feb 2017 11:50PM Dikemas Kini : 11 Feb 2017 02:59AM

SINGAPURA: Langkah Malaysia membangkitkan semula isu lama dengan Singapura tentang pulau Pedra Branca, mungkin percaturan politik menjelang pilihan raya. Demikian menurut para pengkaji dan penganalisis yang pakar tentang hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu.

Pedra Branca yang terletak 44km dari pantai timur Singapura itu - yang dirujuk Malaysia sebagai Batu Puteh - pertama kali dituntut sebagai wilayah Johor pada 1979.

Singapura membantah, isu itu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2003, dan pada 2008, ia memutuskan Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pedra Branca.

Bagaimanapun pada 2 Februari tahun ini, Malaysia memohon untuk menyemak keputusan ini, dan mendakwa tiga dokumen yang baru ditemui di Arkib Negara Britain menunjukkan bahawa para pegawai di peringkat tertinggi "tidak menganggap Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pedra Branca" semasa tahun 1950-1960an.

Malaysia juga menyatakan tiga dokumen itu - yang ditemui antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 - sebelum ini dirahsiakan dan hanya dikeluarkan kepada umum selepas keputusan mahkamah pada 2008 itu. Mediacorp difahamkan bahawa ketiga-tiga dokumen itu dikeluarkan sekitar 2013.

Pulau Pedra Branca. (Gambar fail: Reuters)

Pulau Pedra Branca. (Gambar fail: Reuters)

"MUNGKIN UMNO AKAN PERGUNAKAN ISU INI"

"Masa permohonan itu dibuat agak menarik," kata Dr Mustafa Izzudin, seorang zamil di Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS)-Institut Yusof Ishak.

"Semasa pilihan raya Malaysia pada 2013, Pedra Branca dibangkitkan pihak pembangkang untuk menunjukkan bahawa kerajaan UMNO itu lemah," katanya.

"Mungkin kali ini, UMNO akan mempergunakan isu ini untuk menunjukkan kepada orang ramai di Malaysia bahawa kepimpinan Najib kukuh dari segi dasar asing dan boleh melindungi kedaulatan Malaysia.

"Masa (permohonan dibuat) memberi gambaran bahawa mungkin para penggubal dasar dalam UMNO fikir ia boleh digunakan sebagai satu cara untuk meraih undi," kata Dr Mustafa lagi.

Menarik perhatian tentang kebangkitan pihak pembangkang - seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) - yang menyokong langkah membuka semula kes itu, Dr Mustafa berkata: "Ini mungkin boleh menjadi isu yang menyatukan rakyat Malaysia, yang biasanya agak berpecah-belah."

Dr Bridget Welsh, seorang pakar politik Asia Tenggara di Universiti John Cabot di Rome, berkata peluang untuk menarik balik keputusan mahkamah itu akan "digunakan sepenuhnya bagi keuntungan politik" oleh Malaysia.

"Seseorang tidak boleh lari daripada hakikat bahawa isu ini akan mempunyai implikasi politik tempatan dan muncul ketika tempoh pra-pilihan raya," katanya, sambil menambah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan isu itu "bagi modal politik."

Penganalisis kajian, David Han dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, bersetuju dan berkata: "Sesetengah ahli politik mungkin mahu menggunakan isu ini... untuk mempertingkatkan peluang kejayaan dalam pilihan raya akan datang dan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada isu-isu tempatan lain yang lebih mustahak."

Namun Profesor Madya Kevin Blackburn, seorang sejarawan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), berpendapat yang sebaliknya.

"Memandangkan Barisan Nasional sudahpun ada masalah-masalah politiknya sendiri, sesuatu seperti ini adalah perkara kecil yang tidak berkemungkinan membangkitkan semangat patrotisme, yang mungkin boleh dimanfaatkan mereka," katanya.

Dalam permohonannya, Malaysia juga menarik perhatian ia menyerahkan dokumen-dokumen itu sebelum tamatnya tempoh 10 tahun bagi kes itu disemak, daripada tarikh keputusan itu dikeluarkan pada 23 Mei 2008.

"Ia nampaknya langkah terdesak oleh pasukan Malaysia, untuk mencari bukti baru sedangkan mereka sedang kehabisan masa. Mereka perlu gunakan apa sahaja dokumen yang ada," kata Profesor Madya Blackburn.

Dr Mustafa bersetuju. "Ia mungkin langkah pada saat-saat akhir. Mereka sedang cuba lihat sama ada terdapat sebarang kelemahan," katanya.

"BUKTI AMAT LEMAH"

Permohonan penuh Malaysia, yang dikeluarkan hari ini (10 Feb), menunjukkan bahawa dokumen pertama adalah telegram rahsia pada tahun 1958 daripada Gabenor Singapura kepada Setiausaha Negara Britain Bagi Tanah Jajahan yang menyarankan penubuhan koridor laut antarabangsa, satu batu dari Pedra Branca.

Ini menggambarkan bahawa Gabenor itu "tidak menganggap pulau Pedra Branca sebagai sebahagian daripada wilayah Singapura," menurut Malaysia lagi.

Dokumen kedua pula adalah laporan insiden tentera laut pada tahun 1958 yang merujuk kepada ketidakupayaan tentera laut Britain untuk membantu sebuah kapal Malaysia yang diekori oleh sebuah bot pembedil Indonesia yang berada berdekatan Pedra Branca kerana "ia masih di dalam perairan wilayah Johor".

Dokumen ketiga adalah peta yang bertarikh 1962 tetapi dengan beberapa catatan dari tahun 1966 yang menggambarkan perairan Singapura "tidak sampai ke kawasan Pedra Branca" menurut Malaysia.

(Petikan gambar: Dokumen-dokumen ICJ)

Malaysia menyatakan sekiranya ICJ tahu-menahu tentang bukti sedemikian, ia "tentunya akan membuat kesimpulan berbeza tentang persoalan hak kedaulatan terhadap Pedra Branca."

Malaysia juga menyatakan ia percaya permohonannya memenuhi syarat-syarat di bawah Artikel 61 kanun-kanun ICJ, yang memberi perincian tentang syarat-syarat bagi semakan terhadap keputusan yang sudah dibuat.

"TIADA APA-APA DALAM PERMOHONAN BOLEH KALAHKAN SURAT DARI 1953"

Persoalan utamanya sekarang, kata Dr Mustafa, adalah bagaimana dokumen-dokumen baru itu boleh dibandingkan dengan pertimbangan penting yang menyebabkan ICJ mengeluarkan keputusan yang memihak kepada Singapura pada 2008.

Ia mengenai surat pada 1953 daripada Pemangku Setiausaha Negeri Johor kepada Setiausaha Kolonial Singapura yang menyatakan "kerajaan Johor tidak menuntut pemilikan terhadap Pedra Branca."

"Ia bukan tentang bukti baru yang ditemui Malaysia, tidak kira betapa pentingnya bukti itu. Tetapi lebih kepada betapa banyak pertimbangan dan kredibiliti yang ada pada maklumat baru itu, berbanding bukti yang dikemukakan kepada ICJ sebelum ini," kata Dr Mustafa.

Profesor Madya Blackburn pula berkata tiada apa-apa dalam permohonan baru Malaysia yang mampu mengalahkan surat dari 1953 itu.

"Kenyataan dalam hitam dan putih oleh kerajaan Johor bahawa ia tidak mempunyai hak kedaulatan terhadap pulau itu, adalah lebih kukuh berbanding dokumen-dokumen ini. Tiada di kalangan dokumen-dokumen baru ini yang secara jelas menyatakan Pedra Branca itu sebahagian daripada Johor... Ia semua bukti amat lemah yang tidak kelihatan kukuh," katanya. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan