Images
  • tentera filipina
    Tentera Filipina di Bandar Marawi. (Gambar: AFP) 

Lagi 'sebulan dua' diperlukan untuk bebaskan Bandar Marawi

MANILA: Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana menganggarkan pihak tentera memerlukan "sebulan dua lagi" untuk mengakhiri rampasan bandar Marawi oleh militan muslim.

Tugas tersebut merupakan sesuatu yang "rumit tetapi Marawi akan dibebaskan", kata beliau sebelum pihak tentera Filipina mengumumkan bahawa ia sekarang berada di "peringkat akhir" operasi menentang militan.

Sekitar sebulan lalu, Encik Lorenzana berkata bahawa krisis Marawi boleh diselesaikan dalam masa seminggu atau sebulan.

Namun krisis berkenaan berlarutan jauh lebih panjang daripada itu. Tentera Filipina kini sudah terbabit dalam pertempuran selama tiga bulan dengan kumpulan militan tersebut, yang ada kaitan dengan ISIS. Pada 23 Mei, ratusan pemberontak menguasai beberapa tempat di bandar tersebut dan mengisytiharkannya sebagai kawasan khilafah Islam.

Hingga kini, sekitar 700 orang terbunuh dalam pertempuran itu, dari angka tersebut 528 merupakan anggota militan, menurut perangkaan terbaru tentera. Dianggarkan sekitar 360,000 penduduk dipindahkan.

FILIPINA AKUI PELBAGAI KELEMAHANNYA, KEKUATAN PIHAK MILITAN "LUAR BIASA"

Dalam wawancara rancangan Conversation With oleh Channel NewAsia (yang akan disiarkan Jumaat, 8.30 malam), Encik Lorenzana mendedahkan penilian secara terbuka mengenai kesulitan yang dihadapi tentera Filipina dalam pertempuran menentang militan.

Pihak tentera Filipina tidak menjangka kekuatan pihak pemberontak. Kebanyakan daripada mereka terdiri dari bangsa asing dan pakar dalam pertempuran di bandar, menurut beliau.

"Pihak kami tidak terlatih dengan pertempuran di kawasan bandar; kami hanya berikan tumpuan terhadap peperangan gerila, peperangan di hutan, jadi ini merupakan cara peperangan yang baru bagi kita," kata Encik Lorenzana.

Tambahan pula, kepakaran pihak militan "sangat luar biasa" kata Encik Lorenzana yang mendedahkan bahawa pada dua minggu pertama pertempuran bermula, hampir separuh daripada tentera Filipina yang terbunuh, mati di tangan penembak hendap militan. Ini merupakan penghadang terhadap kemajuan pihak tentera.

Selain itu, tentera Filipina juga berdepan dengan "kegagalan maklumat risikan" apabila pegawai maklumat risikan utamanya dibunuh, kata Encik Lorenzana.

"Beliau mempunyai anggota yang bekerja bersama pasukan militan, dan beliau tahu di mana mereka berada pada setiap masa," kata beliau. Tetapi selepas kematiannya itu, "kami bagai orang buta. Ia mengambil masa yang agak panjang untuk mengumpul maklumat tentang pihak musuh."

'KAMI ENGGAN TERIMA KENYATAAN'

Apabila ditanya mengapa pemerintah Filipina mengambil masa agak lama untuk mengakui terdapat pejuang ISIS di negara tersebut, Encik Lorenzana mengatakan dengan begitu bersahaja: "Kami enggan menerima kenyataan."

"Saya rasa salah satu sebabnya ialah pihak tentera enggan menerima kenyataan bahawa bandar di selatan Filipina itu pada satu hari akan menjadi kubu ISIS," dedah beliau.

Filipina sedang menentang pemberontakan berkembar di negaranya itu. Iaitu, pemberontak Maoist dan pihak pemisah Muslim di selatan negara tersebut, selama 50 tahun.

Keprihatinan utama negara itu, menurut Encik Lorenzana, adalah sebaran ekstremisme dari selatan hingga ke kawasan lain negara itu.

"Oleh kerana kebanyakan daripada mereka merupakan warga Filipina, mereka boleh pegi ke mana-mana daerah di Filipina, dan lakukan kekacauan di mana-mana - khususnya tempat-tempat yang sesak seperti Manila dan Cebu."

Walaupun pemerintah belum lagi menerima maklumat mengenai pihak ekstremis yang pergi ke bandar-bandar tersebut, Encik Lorenzana mengatakan pihak berkuasa sedang mengambil "langkah-langkah proaktif."

"Kami sudahpun memaklumkan tentera kami di Manila, dan pihak polis juga meningkatkan lagi maklumat risikan. Kami sedang memantau pergerakan pengganas di selatan.

"Jika mereka ke sini, kami mempunyai laporan dari kawalan sempadan. Laluan perkapalan juga dipantau oleh pasukan tentera laut dan polis pantai," tambah beliau.

Pada Khamis (10 Ogos), ketua pasukan tentera Filipina Eduardo Año dilaporkan mengatakan bahawa pasukannya akan menyelamatkan tebusan sebelum melakukan serangan terakhir di Marawi. Hingga kini, sekitar 50 hingga 70 tebusan masih berada dalam tahanan pihak militan. 

- CNA/FA/fa

Komen Anda?

Top