Images
  • kuwait emir
    Gambar fail Amir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah. (Gambar: REUTERS/Carlo Allegri)

Kuwait gesa negara Teluk bersatu huraikan pertikaian Qatar

DUBAI: Pemimpin Kuwait pada Ahad (18 Jun) menggesa negara-negara di Teluk Arab supaya menangani pertikaian diplomatik dengan Qatar yang menyebabkan ketegangan paling teruk di rantau itu.

Beliau berkata semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memelihara perpaduan serantau.

Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, yang kini menjadi orang tengah selepas Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar dua minggu lalu, berkata beliau berharap krisis itu dapat dihuraikan melalui dialog.

Dalam satu ucapan sempena bulan Ramadan, Sheikh Sabah berkata beliau berharap hari-hari terakhir Ramadan ini dapat mewujudkan "suasana bagi menghuraikan perbalahan dan menamatkan pertikaian itu melalui dialog dan perhubungan" di Teluk.

Arab Saudi, UAE dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dan pelancongan dengan Qatar pada 5 Jun, menuduh negara itu membiayai kumpulan militan dan menimbulkan ketidakstabilan, sesuatu yang dinafikan Qatar.

Pertikaian itu menyekat import, membuat para pengunjung terkandas, menjejas harga minyak dan mengelirukan perniagaan.

Sheikh Sabah, seorang diplomat, menegaskan bahawa negara-negara Teluk mempunyai "matlamat yang sama" kerana ikatan sejarah dan hubungan kekeluargaan yang merentasi sempadan.

Kepentingan yang sama ini membuat negara-negara Teluk saling bertanggungjawab untuk kekal bersatu, katanya dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen.

Beliau mendoakan bagi usaha "untuk memelihara negara-negara Teluk, rakyat dan untuk mengelakkan daripada semua perkara yang menjejas hubungan kukuh dan mengancam keselamatan rantau itu." 

- Reuters/ru

Komen Anda?

Top