Images
  • hamas-pakistan main
    Azzam al-Rahmad dari Fatah (kanan) dan Saleh al-Aruri (kiri) dari hamas selepas menandatangani perjanjian damai. (Gambar: Khaled Desouki/AFP) 

Kumpulan Hamas dan Fatah meterai perjanjian damai demi perpaduan Palestin

GAZA: Pergerakan Hamas dan kumpulan Fatah di Palestin, yang sebelum ini bermusuhan, hari ini (12 Okt) menandatangani perjanjian dalam untuk menamatkan permusuhan selama sedekad antara. Perjanjian tersebut dimeterai di Kahirah, Mesir.

Di bawah perjanjian damai itu, Penguasa Palestin yang memimpin Fatah di Tebing Barat, akan menguasai sepenuhnya Carikan Gaza mulai 1 Disember ini. Carikan Gaza kini dikuasai Hamas.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengalu-alukan perjanjian tersebut sebagai "perjanjian muktamad untuk menyelesaikan perpecahan"

Perjanjian bersejarah itu ditanda tangan oleh Timbalan Ketua Hamas, Encik Salah al-Aruri, dan Ketua Delegasi Fatah, Encik Azzam al-Ahmad.


Wakil Fatah dan Hamas meterai perjanjian damai. (Gambar: Khaled Desouki/ AFP)

PEGAWAI FATAH "TIDAK BOLEH BALIK" HINGGALAH CAPAI PERJANJIAN

Dalam ulasannya kepada pihak media, Encik al-Ahmad menceritakan arahan yang diterimanya dari Encik Abbas:

"Arahan Presiden Abu Mazen (Mahmoud Abbas) ialah kami tidak boleh balik sehinggalah kami mencapai satu perjanjian. Kita harus menutup bab perpecahan ini selama-lamanya dan menuju ke arah perpaduan.

"Orang Palestin mesti kembali dengan semua kuasanya dan mesti bekerja ke arah ini (perpaduan), Fatah dan Hamas...demi merealisasikan impian Palestin untuk menamatkan penjajahan hina (Israel), dan mencapai penubuhan sebuah negara Palestin yang diperintah secara bebas, dengan Baitulmakdis sebagai ibu kotanya."


Seorang lelaki memegang potret Presiden Palestin bersama warga Palestin lain yang ikut bersorak setelah perdamaian diumumkan. (Gambar: Mahmud Hams/AFP)

Pertemuan di Mesir itu berlangsung di ibu pejabat khidmat risik Mesir. Palestin. Kini, kedua-dua pihak akan mengadakan satu lagi rundingan bagi membentuk sebuah pemerintah campuran. Pelbagai pergerakan politik Palestin akan diundang menyertai satu lagi mesyuarat di Kahirah pada 21 November ini.

PENDUDUK GAZA BERSORAK GEMBIRA

Selepas berita baik itu diumumkan, orang ramai di Carikan Gaza bersorak kegembiraan dengan para penduduk mengibar-ngibar bendera-bendera Palestin, Hamas, Fatah dan Mesir.


Manisan-manisan diedarkan dalam sambutan di kota Gaza. (Gambar: Mahmud Hams/AFP)

Ini kerana sekatan-sekatan yang dikenakan Penguasa Palestin terhadap Gaza akan ditarik balik, menurut seorang pegawai Fatah.

Di bawah perjanjian itu juga, sekitar 3,000 anggota polis Penguasa Palestin yang kini berpangkalan di Tebing Barat, akan dikerahkan ke Gaza.

Beberapa bulan lalu, semasa kedua-dua pihak masih bercakaran, Encik Mahmoud Abbas menghukum Gaza dengan mengurangkan bekalan elektrik ke wilayah itu, sehingga menyebabkan Gaza kegelapan.

BAGAIMANA DENGAN BRIGED AL-QASSAM?

Sebelum pemeteraian perjanjian itu, ketua pergerakan Hamas di Palestin, Ismail Haniyeh, hari ini (12 Okt) turut mengumumkan bahawa pihaknya dan pihak Encik Abbas berjaya mencapai satu persetujuan damai.


Ismail Haniya turut menyaksikan liputan perjanjian perdamaian di pejabatnya di kota Gaza. (Gambar: Mohammed Abed/ AFP)

Perkara itu dimaklumkan pembantu Encik Haniyeh, Encik Taher al-Nouno, dalam satu mesej teks yang dihantar kepada pemberita.

Sungguhpun berita ini dijangka disambut baik oleh negara-negara Arab khususnya, masih ada isu-isu yang belum diselesaikan sepenuhnya.

Antaranya termasuklah - apakah nasib cabang tentera Hamas, iaitu Briged Ezzedine al-Qassam selepas ini? Briged tersbeut mempunyai 25,000 anggota. 

- AFP/BERNAMA/APTN/DY/aq

Komen Anda?

Top