Images
  • Mohamad Thaqif Amin
    Mohamad Thaqif Amin.

Kubur tahfiz cilik digali, ambil sampel untuk siasatan lanjut

JOHOR BAHRU: Kubur pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11 tahun, yang meninggal dunia pada 26 April lalu digali semalam (17 Mei).

Ibu saudara Allahyarham, Dzuraidah Ahmad memberitahu Berita Harian Online bahawa proses tersebut bermula bagi membolehkan sampel kaki Allahyarham diambil untuk tujuan siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah turut mengesahkan proses tersebut.

Memetik Mingguan Wanita, Sinar Harian melaporkan kisah itu dikongsi oleh bapa saudara Allahyarham, Encik Mas Arip yang menyaksikan penggalian semula kubur itu.

“Alhamdulillah keadaan jenazah sempurna dan masih utuh, sama seperti baru ditanam.

“Pihak forensik yang mengambil sampel dari kaki yang dipotong itu turut mengagumi keadaan jenazah yang tidak mereput bahkan cukup istimewa kerana Allah menunjukkan kebesaran-Nya di hadapan mereka yang masih hidup. Kejadian ini turut disaksikan oleh pihak berkuasa.

“Allahuakbar! Kakinya yang ditanam tempoh hari tidak hancur. Bahkan badannya juga tidak hancur, sama seperti baru dikebumikan. Betul-betul menginsafkan saya.

“Masya-Allah. Allah maha berkuasa,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.

Jenazah itu dilapor perlu digali semula oleh pihak hospital dengan kebenaran dari mahkamah serta bersaksikan polis bagi mencari punca kematiannya.

"Sampel yang diambil selepas kematiannya sebelum ini tidak menemui apa-apa yang menjadi punca kepada kematiannya,” kata Encik Mas kepada Sinar Harian.

Mohamad Thaqif dipercayai dipukul dengan paip getah pada tapak kakinya sehingga menyebabkan kecederaan.

Kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 21 April lalu akibat jangkitan kuman.

Tangan kanannya yang dipercayai dijangkiti kuman sepatutnya dipotong bagi menyelamatkan nyawanya pada pagi 26 April tetapi ditangguhkan.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada hari yang sama di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru. 

- Agensi berita/im

Komen Anda?

Top
>