Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Krisis banjir besar di Malaysia kian meruncing, tapi belum boleh diisytihar 'darurat'

Kian ramai mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat perlindungan di tujuh negeri Malaysia. Sehingga tujuh malam tadi, bilangannya lebih 119,000 orang, kebanyakannya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Dec 2014 08:52PM Dikemas Kini : 26 Dec 2014 09:27PM

MALAYSIA: Kian ramai mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat perlindungan di tujuh negeri Malaysia.

Sehingga 7.00 malam tadi, bilangannya hampir mencecah 120,000 orang, kebanyakannya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah. Johor merupakan negeri terbaru dilanda banjir, iaitu di Kluang dan Muar.

Bilangan tersebut jauh lebih tinggi daripada jumlah mangsa banjir tahun 2008.

Keadaan banjir di Kelantan. (Gambar: Samantha Kok Yl)

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan bencana banjir kali ini sebagai yang terburuk dalam masa 30 tahun. Namun menurut beliau, belum perlu untuk mengisytiharkan keadaan darurat.

"Dia (pengisytiharan darurat) ada banyak kriteria, umpamanya bekalan elektrik, air yang lumpuh seluruhnya dan menjadi suatu keadaan yang meruncing dan sebagainya, ataupun jumlah yang sudah dipindahkan ratusan ribu. Jadi ini ada kriterianya tetapi yang penting bukan isytihar darurat. Apa nak buat kalau darurat diisytiharkan? Masih lagi langkah untuk menyelamatkan. Yang ini yang sedang kita buat," kata Tan Sri Muhyiddin.

Sehubungan dengan itu, Tan Sri Muhyiddin berkata kerajaan akan menghantar lebih banyak helikopter, bot dan kakitangan ke tempat-tempat yang teruk dilanda banjir. Beliau kini di Kelantan bagi memantau keadaan.

Esok, Tan Sri Muhyiddin akan mempengerusikan satu mesyuarat khas bagi menilai semula kaedah serta keperluan misi menyelamat.

Sementara itu, menulis dalam laman Facebook beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata paras air yang sangat tinggi serta cuaca buruk menyulitkan operasi menyelamat serta kiriman bekalan makanan kepada para mangsa. Beliau, yang sedang bercuti di Hawaii, turut menggesa agar operasi bantuan ditingkatkan.

Berbanding keadaannya semalam, Pahang kini mempunyai jumlah mangsa banjir terbesar yang dipindahkan. Seramai 36,000 orang dipindahkan, berbanding sekitar 28,500 orang malam semalam. Bilangan penduduk yang dipindahkan di Terengganu juga bertambah hampir 1,000 orang.

Sebaliknya di Kelantan, jumlah mangsa di pusat-pusat pemindahan merosot sedikit kepada kira-kira 32,000 orang petang tadi. Bagaimanapun jabatan kaji cuaca meramalkan lebih banyak hujan terutama sekali di Johor. 

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan