Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

KL, Riyadh digesa kerjasama tangani pelbagai cabaran dihadapi umat Islam

Malaysia dan Arab Saudi, selaku anggota aktif Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) digesa bekerjasama untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh umat Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
KL, Riyadh digesa kerjasama tangani pelbagai cabaran dihadapi umat Islam

Raja Arab Saudi, Raja Salman di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam (26 Feb). (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 27 Feb 2017 08:23AM Dikemas Kini : 27 Feb 2017 09:07AM

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Arab Saudi, selaku anggota aktif Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) digesa bekerjasama untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh umat Islam.

Gesaan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di majlis jamuan negara bagi meraikan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud malam semalam (26 Feb).

Majlis yang berlangsung di Istana Negara itu adalah sebahagian daripada aturcara
pada hari pertama lawatan negara empat hari Raja Salman di Malaysia, lawatan
sulung beliau sejak naik takhta pada 23 Januari 2015.

Dalam mengalu-alukan kedatangan Penjaga Dua Masjid Suci itu dan rombongan
beliau ke Malaysia, Sultan Muhammad V menarik perhatian bahawa Kuala Lumpur
dan Riyadh berkongsi pendirian yang sama berhubung keperluan untuk mencari
penyelesaian terhadap isu-isu yang menjejas ummah.

"Dalam soal ini, Malaysia dan Arab Saudi selaku anggota aktif OIC perlu bekerjasama dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam," kata Seri Paduka.

Turut hadir di majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinet.

Turut hadir mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Seri Paduka seterusnya menzahirkan harapan lawatan bersejarah Raja Salman itu akan membuka gerbang kerjasama khususnya dalam aspek ekonomi dan perdagangan berpaksikan nilai kepercayaan dan saling menghormati antara kedua-dua negara.

"Saya amat gembira melihat kesungguhan kedua-dua negara dalam meningkatkan
hubungan perdagangan. Kerajaan Raja Salman adalah antara rakan dagangan
terbesar Malaysia dalam kalangan negara Timur Tengah," kata Sultan Muhammad V.

Seri Paduka menarik perhatian bahawa jumlah perdagangan Malaysia-Arab Saudi pada 2016 meningkat 12.4 peratus kepada AS$3.17 bilion (S$4.46 bilion) daripada AS$2.82 (S$3.96) bilion pada 2015.

Walaupun perkembangan positif itu diraikan, Seri Paduka tetap percaya masih banyak peluang dan manfaat boleh terus diusahakan secara bersama dalam meneroka peluang ekonomi antara kedua-dua kerajaan.

Sultan Muhammad V berkata bahawa kehadiran delegasi perniagaan yang besar dalam lawatan Raja Salman mencerminkan usaha berterusan kerajaan Arab Saudi itu dalam menggalak kerjasama ekonomi lebih luas antara kedua-dua negara.

Yang di-Pertuan Agong seterusnya berkata bahawa peranan Raja Salman sebagai
Penjaga Dua Masjid Suci memberi makna amat besar kepada dunia Islam seluruhnya.

Kata Seri Paduka, berjuta rakyat Malaysia sudah mengunjungi Tanah Suci dan
mereka yang pulang sentiasa memuji usaha kerajaan Arab Saudi diterajui Raja
Salman untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan jemaah.

"Saya berasa amat bersyukur mendengar khabar gembira akan limpah perkenan
tuanku untuk meningkatkan kuota haji bagi rakyat Malaysia pada tahun ini," kata
Seri Paduka.

Tabung Haji pada bulan lepas menyatakan kuota jemaah haji Malaysia dikembalikan kepada 27,900 orang tahun ini berbanding 22,230 sebelum ini.

Mengimbau sejarah persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara, Sultan Muhammad V berkata Arab Saudi merupakan negara yang sudahpun menghantar wakil sewaktu pengisytiharan kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957.

"Sesungguhnya sejak 60 tahun dahulu, negara Malaysia dan Arab Saudi sudah menikmati hubungan persaudaraan yang akrab bertunjangkan kepada perkongsian nilai kepercayaan serta visi dalam mempromosikan perpaduan dalam kalangan negara," kata Seri Paduka.

Sultan Muhammad V menyifatkan lawatan Raja Salman memberi makna besar dalam mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

"Saya juga berhasrat mengadakan kunjungan balas ke Arab Saudi," kata Seri Paduka.

Raja Salman diberi sambutan Malaysia di Dataran Parlimen pagi semalam.

Raja Arab Saudi itu disambut PM Najib sejurus pesawat khas yang membawa pemimpin negara Timur tengah itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang.

Raja Salman dan PM Najib dijadual mengadakan pertemuan di Putrajaya hari ini. 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan