Images
  • raja bomoh
    "Raja Bomoh" atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin. (Gambar: BERNAMA)

Ketua Polis M'sia: Raja Bomoh dipanggil beri keterangan dalam masa terdekat

MELAKA: Ibrahim Mat Zin atau lebih dikenali sebagai Raja Bomoh akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung upacara perbomohan yang dikatakannya 'memagar' Malaysia daripada ancaman negara asing, khususnya Korea Utara.

Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya menerima beberapa laporan mengenai upacara oleh lelaki yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu dan siasatan terhadapnya akan dilakukan mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.

"Kita boleh memanggil sesiapa sahaja mengikut kanun berkenaan untuk membantu dalam siasatan apabila laporan daripada orang awam diterima," katanya hari ini (19 Mac).

Tan Sri Khalid turut menyeru supaya Ibrahim menghentikan upacara tersebut kerana tindakannya itu boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai terutama sekali perkara yang membabitkan perbuatan syirik.

"Sebahagian masyarakat kita suka terlebih-lebih (dalam perbuatan). Ada ke patut menembak menggunakan buluh meriam. Ini perbuatan syirik. Syirik tidak ada dalam adat budaya kita.

"Cukuplah, jangan lakukan perkara yang mengarut. Perbuatan dia jelas
memalukan orang Melayu. Saya minta dia hentikan dan jadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan," katanya.

Kelmarin (17 Mac), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan upacara perbomohan Ibrahim kerana menyebar luaskannya, secara tidak langsung akan mempromosikan individu berkenaan.

Video dan pelbagai rakaman gambar aksi terbaharu Raja Bomoh yang juga Pengasas Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia itu menular di media sosial baru-baru ini.

Aksi Raja Bomoh itu dipercayai dilakukan berikutan wujud ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara menyusuli pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu. 

- BERNAMA/im

Komen Anda?

Top
>