Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketua pemuda UMNO cadang tiada pemilihan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti

Pergerakan Pemuda UMNO hari ini (6 Dis) mencadangkan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Dec 2017 02:14PM Dikemas Kini : 06 Dec 2017 10:07PM

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO hari ini (6 Dis) mencadangkan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata Pemuda UMNO memberi sokongan sepenuhnya kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menjalankan tugas timbalan presiden, untuk terus mengemudi parti.

Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Encik Khairy berkata keutamaan parti sekarang adalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bukan pemilihan parti.

“Biar kita ke medan perang dengan hati yang tenang, dengan fikiran yang lapang. Jangan terbeban dengan persoalan siapakah (pemimpin) yang perlu diundi nanti. Jadi, kita selesaikan persoalan besar hari ini, tak perlu lagi dibelenggu persoalan ini.

“Dengan ini, Pemuda nak cadangkan bila menang pilihan raya nanti, insya-Allah, jawatan presiden dan timbalan presiden tak perlu dipertandingkan,” kata Encik Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan.

“Buang persoalan itu jauh-jauh, sekarang kita fokus bagi Barisan Nasional menang besar,” tegas beliau.

"JANGAN PENTINGKAN AGENDA PERIBADI"

Khairy turut menekankan soal pentingya solidariti anggota UMNO kepada parti mereka dengan memastikan tiada langsung wujud rekahan atau keretakan dalam parti.

Ketua Pemuda UMNO itu juga menegaskan bahawa cabaran yang dibawa parti serpihan yang keluar daripada UMNO tidak harus dipandang enteng.

“Walaupun kita yakin UMNO lebih kuat, UMNO lebih hebat, kita jangan lupa parti ‘Bunga’ ini akan tetap mencedok dari kolam penyokong yang sama,” katanya.

Selain itu, Encik Khairy berkata sesiapa yang tidak terpilih menjadi calon PRU perlu terus bersama berjuang memastikan kemenangan parti.

“Jangan gadaikan maruah dan harga diri, jangan pentingkan agenda peribadi sampai UMNO rebah tak mampu berdiri,” tambahnya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan