Images
  • sg msia journalists
    Laporan media Myanmar mengenal pasti wartawan yang ditahan sebagai rakyat Singapura Lau Hon Meng dan warga Malaysia Mok Choy Lin. (Gambar: NewsWatchJournal/Facebook)

Kes terbangkan dron di Myanmar: Wartawan S'pura, M'sia mungkin dikenakan dakwaan baru

NAYPYIDAW: Mahkamah Myanmar menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua wartawan yang bertugas untuk stesen penyiar Turki.

Kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara dua bulan bersama penterjemah dan pemandu mereka, semalam (11 Nov) atas kesalahan melanggar undang-undang penerbangan dengan membuat rakaman menggunakan dron.

Jurukamera Lau Hon Meng dari Singapura dan wartawan Mok Choy Lin dari Malaysia ditahan pada 27 Oktober bersama penterjemah Aung Naing Soe dan pemandu Hla Tin dari Myanmar.

Semua empat individu itu sedang membuat rakaman bagi dokumentari untuk TRT World, anak syarikat berbahasa Inggeris bagi Perbadanan Radio dan Televisyen Turki,ketika ditahan kerana cuba menerbangkan dron berhampiran bangunan parlimen di ibu kota, Naypyidaw.

Meskipun mereka bukan warga Turki, kes itu sudah menjejaskan lagi hubungan diplomatik ekoran tuduhan Presiden Tayyip Erdogan terhadap tentera Myanmar.

Tentera Myanmar dituduh menjalankan "pembunuhan beramai-ramai" terhadap penduduk Muslim Rohingya di negara itu.

Pada awalnya polis memulakan siasatan ke atas kemungkinan empat individu tersebut melanggar undang-undang import yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun. Namun hakim memilih untuk memulakan dakwaan baru, iaitu menyalahi Akta Pesawat Burma 1934. Ia membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan.

Kedua-dua jurukamera dan wartawan itu mengaku bersalah terhadap dakwaan yang lebih rendah dan hakim menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas semua empat individu, menurut laporan Reuters.

Kementerian Penerangan Myanmar mengeluarkan sekeping gambar dron yang dirampas daripada kedua-dua wartawan yang ditahan di Nay Pyi Taw.

"Kedua-duanya mengaku mereka melakukan jenayah dan berharap mereka hanya akan didenda. Oleh itu kami terkejut apabila hakim menjatuhkan hukuman penjara dua bulan," kata penguam bela Khin Maung Zaw.

Menurut peguam itu lagi beliau akan mengemukakan rayuan agar hukuman dikurangkan kepada denda.

Sebelum prosiding dimulakan semalam, Cik Mok memberitahu mahkamah kedua-dua wartawan itu meminta maaf atas sebarang perbuatan tidak menghormati undang-undang Myanmar, namun mengadu prosesnya kurang telus.

"Kami langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku dan kami tidak dibenarkan bercakap dengan anggota keluarga kami," luah Cik Mok.

"Undang-undang dan prosedurnya tidak dijelaskan kepada kami. Kami diminta menandatangani keterangan yang ditulis dalam bahasa Burma, yang tidak kami faham."

Kementerian Ehwal Luar Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Yangon sudah bertemu dengan Cik Mok dan keadaannya "dilaporkan sihat".

Kedutaan itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar serta kedutaan Singapura dan Turki di negara itu untuk memantau dan memberikan bantuan konsular yang diperlukan kepada warga masing-masing, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

"Kementerian ingin menekankan perlunya rakyat Malaysia memahami sepenuhnya undang-undang dan peraturan negara yang dikunjungi sebelum ke sana dan mereka mesti memastikan ia dipatuhi," tambah kenyataan itu lagi.

Sementara itu, seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura juga berkata Kedutaan Singapura di Yangon sudahpun bertemu dengan Encik Lau dan akan terus menawarkan bantuan konsular kepadanya dan keluarga.

KEMUNGKINAN DAKWAAN BARU

Satu sesi baru pembicaraan akan diadakan pada 16 November bagi menentukan sama ada dakwaan-dakwaan akan dikemukakan kerana menyalahi undang-undang import-eksport.

Seorang peguam memberitahu Mediacorp, memandangkan hukuman "keras" yang dijatuhkan semalam, beliau tidak begitu optimistik tentang pembicaraan yang akan datang.

Sesiapa yang mencabuli undang-undang import-eksport boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Penterjemah Aung Naing Soe memberitahu para wartawan, sedang dia dibawa masuk ke mahkamah, keempat-empat mereka tidak dilayan dengan teruk semasa ditahan.

Ini meskipun polis pernah bertanya tentang siapa yang mereka hubungi dan perjalanan yang dilakukan ke beberapa daerah di Myanmar, termasuk Rakhine.

Menurut Myanmar operasi pemberontakan-balas tentera yang dilancarkan pada bulan Ogos dicetuskan oleh serangan-serangan militan Rohingya terhadap pondok-pondok keselamatan di Wilayah Rakhine.

Ia turut menafikan tuduhan Presiden Erdogan dan kenyataan seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkan operasi itu sebagai "kes penghapusan kaum". 

- CNA/NK/nk

Komen Anda?

Top