Images
  • nyc
    Seorang wanita maut dan 22 lagi cedera dalam kes rempuh pejalan kaki. (Gambar: Liz Long/Instagram/@lizlong88)

Kes rempuh pejalan kaki tiada kaitan dengan pengganasan

NEW YORK: Seorang veteran Tentera Laut Amerika Syarikat yang mempuyai rekod jenayah - namun tidak mempunyai sebarang motif keganasan yang jelas - memandu kereta merempuh orang ramai di laluan pejalan kaki di Times Square, New York pada hari Khamis (18 Mei).

Seorang wanita maut dan 22 lagi cedera.

Kejadian yang berlaku pada 12.00 tengah hari waktu tempatan itu mencetuskan rasa takut di tengah-tengah bandar paling paling ramai penduduk di Amerika itu, selepas kejadian serupa di London, Berlin dan bandar Nice di Perancis.

Namun, menurut pihak berkuasa tiada bukti kejadian itu ada kaitan dengan pengganasan.

"Berdasarkan maklumat yang kita ada pada masa ini, tidak ada sebarang bukti bahawa ia adalah satu tindakan pengganasan" kata Datuk Bandar, Bill de Blasio, pada sidang media di tempat kejadian.

"Unit-unit anti-pengganasan kami dari NYPD meningkatkan rondaan di beberapa lokasi utama di sekitar bandar, agar tapak -tapak utama mendapat kawalan tambahan daripada pihak polis," katanya.

Polis berkata Richard Rojas, 26 tahun, yang berasal dari Bronx pernah dua kali ditangkap kerana mabuk serta berkelakuan ganas pada awal tahun ini.

Dia memecut di kawasan pejalan kaki, merempuh orang ramai sebelum melanggar tiang dan berhenti di 45th Street dan Broadway di Midtown Manhattan pada 11.55 pagi waktu tempatan.

Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Alyssa Elsman, 18 tahun, pelajar dari Michigan yang sedang bercuti bersama keluarganya.

22 mangsa lain cedera, termasuk adik mangsa yang berusia 13 tahun, kata para pegawai.

Empat yang tercedera berada dalam keadaan kritikal.

Rojas ditangkap dan diuji bagi dadah dan arak, kata polis.

"Rojas kini berada dalam tahanan. Dia seorang warganegara Amerika Syarikat dan bekas anggota Tentera Laut Amerika Syarikat," kata de Blasio kepada wartawan. 

- CNA/Reuters/ur

Komen Anda?

Top
>