Images
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
    Di luar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, 30 Jun. (Gambar: Facebook CM Lim Guan Eng)

Kes penyelewengan dana RM180 juta di Sabah: Pemimpin parti politik dibebaskan

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin parti politik Sabah yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana RM180 juta (S$58 juta) berkaitan projek luar bandar dibebaskan hari ini (13 Okt).

Lelaki berusia 46 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan ikat jamin RM50,000 (S$16,057) tanpa deposit dengan dua orang penjamin di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus.

Prosiding itu dijalankan di sebuah hospital swasta dan SPRM diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin.

Sebelum ini, individu berkenaan ditahan reman selama lima hari sejak Jumaat lepas (6 Okt), dan remannya disambung semula tiga hari mulai Selasa lalu (10 Okt), sebelum dimasukkan ke Hospital KPJ Damai disebabkan kekurangan air dalam badan serta tekanan darah tinggi.

Lelaki berkenaan antara tujuh individu yang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar sejumlah RM180 juta (S$58 juta) iaitu sebahagian daripada dana sebanyak RM1.5 bilion (S$482 juta) yang dianggarkan diseleweng dalam sebuah kementerian.

Dana RM1.5 bilion (S$482 juta) itu adalah sebahagian daripada peruntukan kerajaan pusat melalui sebuah kementerian berjumlah RM7.5 bilion (S$2.41 bilion) untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah bagi tempoh 2009 hingga 2015.

- BERNAMA/AQ/aq

Komen Anda?

Top