Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes pelajar tahfiz diklasifikasi sebagai kes bunuh

Polis mengklasifikasikan semula kes kematian pelajar tahfiz yang dilapor dipukul pembantu warden asrama sekolahnya sebagai kes bunuh.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes pelajar tahfiz diklasifikasi sebagai kes bunuh

Mohamad Thaqif Amin.

Diterbitkan : 26 Apr 2017 09:22PM Dikemas Kini : 26 Apr 2017 09:26PM

KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan semula kes kematian pelajar tahfiz yang dilapor dipukul pembantu warden asrama sekolahnya sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kes adik Mohamad Thaqif Amin - PDRM ucapkan takziah kepada keluarga anak ini dan telah mengklasifikasikan semula siasatan di bawah Seksyen 302 (Kanun Kesiksaan) kerana bunuh," kata beliau di laman Twitternya hari ini (26 Apr).

Beliau turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Mohamad Thaqif Amin.

Berikutan itu, Tan Sri Khalid berkata polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan dan melengkapkan siasatan dengan segera.

"Kes adik Mohamad Thaqif Amin - PDRM akan dapatkan laporan penuh perubatan dan lengkapkan siasatan dengan segera," kata Tan Sri Khalid.

NAJIB RAZAK GESA SIASATAN SEGERA

Mohamad Thaqif Amin, 11 tahun, meninggal dunia pada 2.05 petang tadi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, tempat pelajar itu mendapatkan rawatan.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak turut menggesa agar siasatan kes kematian Mohamad Thaqif disegerakan.

"Saya mahu siasatan kes ini dipercepatkan agar kita tahu punca kematian dan diambil tindakan undang-undang jika ada kesalahan," katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitter hari ini.

MENINGGAL SEMASA KELUARGA BACAKAN YASIN

Pelajar tahfiz itu dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku pagi tadi, namun ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kedua belah kakinya sebelum ini dipotong bagi mengelak jangkitan kuman merebak pada bahagian lain tubuhnya.

Menurut bapa Allahyarham, Encik Mohd Gaddafi Mat Karim, anaknya itu meninggal dunia ketika mereka sekeluarga sedang membacakan surah Yasin.

Beliau, yang merupakan bekas pemain bola sepak Selangor, juga berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak ketiganya daripada lima beradik itu.

SELURUH NEGERI JOHOR BERDUKA CITA

Dalam pada itu, kerajaan Johor hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor turut memberikan sumbangan kepada keluarga pelajar itu bagi membantu menghadapi detik sukar.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh negeri Johor turut berduka cita atas pemergian ''imam cilik'' ini."

"Hasrat dan impiannya menjadikan Al-Quran sebagai budaya hidup seharian amatlah terpuji dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah menempatkannya dalam kalangan insan yang bertaqwa dan beriman," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini. 

Sumber : Bernama/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan