Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kereta kebal Israel lepaskan tembakan balas ke arah utara Gaza

Sumber-sumber Palestin menyatakan bahawa kereta-kereta kebal tentera Israel melepaskan tembakan terhadap bahagian utara Carikan Gaza hari ini (18 Mac), sebagai membalas roket-roket yang dilancarkan ke selatan Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
Kereta kebal Israel lepaskan tembakan balas ke arah utara Gaza

Gambar fail kereta-kereta kebal tentera Israel. (Gambar fail: JALAA MAREY / AFP)

Diterbitkan : 18 Mar 2017 08:05PM Dikemas Kini : 18 Mar 2017 08:13PM

GAZA: Sumber-sumber Palestin menyatakan bahawa kereta-kereta kebal tentera Israel melepaskan tembakan terhadap bahagian utara Carikan Gaza hari ini (18 Mac), sebagai membalas roket-roket yang dilancarkan ke selatan Israel.

Demikian menurut laporan agensi berita China, Xinhua.

Radio awam Israel juga melaporkan bahawa tembakan-tembakan yang dilepaskan kereta kebal menyasarkan sebuah kemudahan tentera Hamas di kawasan itu, selepas sebutir roket dilancarkan sebelum ini dari Gaza ke Israel, hari ini.

Tiada kecederaan dilaporkan, dan tiada pihak yang mendakwa bertanggungjawab melepaskan roket tersebut.

Pada Rabu lalu, jet-jet perang Israel melancarkan dua ofensif udara terhadap kemudahan-kemudahan militan di Gaza sebagai membalas satu serangan roket, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Sebelum itu, tentera Israel melancarkan ofensif terhadap tapak-tapak Hamas di Gaza setelah mendakwa roket-roket dilancarkan terhadap selatan Israel.

Pada Februari lalu, seorang jurucakap tentera Hamas memberi amaran kepada Israel bahawa para militan Hamas akan membalas tembakan terhadap mana-mana ofensif oleh tentera Israel di Carikan Gaza.

Pada 2014, Mesir menjadi orang tengah bagi satu gencatan senjata antara Hamas dan Israel, yang menghentikan selama dua bulan pertempuran antara kedua-dua pihak.

Namun ofensif besar-besaran oleh Israel membunuh lebih 2,200 warga Palestin dan mencederakan sekitar 11,000 lagi orang.

Di Hebron, Tebing Barat, seorang remaja lelaki Palestin maut akibat terkena peluru di dadanya yang dilepaskan para askar Israel, pada lewat malam Jumaat.

Sumber-sumber Perubatan Palestin menyatakan bahawa remaja itu maut setelah pasukan tentera Israel menyerbu kem pelarian Al-Aroub berhampiran bandar itu. Ia menyebabkan seorang lagi pemuda lelaki cedera parah.

Ketegangan antara warga Palestin dan Israel sudah berlarutan sejak Oktober 2015, menyebabkan kematian lebih 350 warga Palestin dan seorang rakyat Jordan di Tebing Barat dan Timur Baitulmakdis, serta kematian lebih 40 warga Israel.

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan