Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerakyatan warga M'sia gugur secara automatik jika pernah pegang dua warganegara

Kerakyatan seseorang warga Malaysia akan gugur secara automatik sekiranya didapati pernah memegang dua kewarganegaraan, kata Timbalan Perdana Menteri.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerakyatan warga M'sia gugur secara automatik jika pernah pegang dua warganegara

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: AFP/MOHD RASFAN)

Diterbitkan : 16 May 2017 10:51PM Dikemas Kini : 16 May 2017 10:53PM

JOHOR BAHRU: Kerakyatan seseorang warga Malaysia akan gugur secara automatik sekiranya didapati pernah memegang dua kewarganegaraan, kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata situasi tersebut jelas terkandung dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan mana-mana rakyat Malaysia akan terbatal kerakyatannya jika pernah memohon dan menjadi warganegara di negara lain.

"Kita harus melihat kepada perundangan di negara kita terutama dari segi perundangan tertinggi iaitu perlembagaan negara kita yang hanya iktiraf satu kewarganegaraan untuk rakyat Malaysia.

"Jika mana-mana rakyat Malaysia yang mempunyai taraf dua kewarganegaraan maka ia akan gugur secara automatik apatah lagi jika rakyat Malaysia itu pernah memohon dan menjadi warganegara di sebuah negara lain," katanya mengulas isu anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon yang dilucutkan kelayakan sebagai ADUN dalam Persidangan Dewan Negeri itu, Jumaat lepas.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas perasmian Majlis Pecah Tanah Kemudahan Awam Ibrahim International Business District (IIBD) hari ini (16 Mei).

Ahmad Zahid berkata keputusan yang dibuat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu boleh dicabar atau dibawa ke mahkamah oleh parti politik yang berkenaan.

Namun, beliau menegaskan Perlembagaan Malaysia haruslah tetap dijunjung sebagai sistem perundangan yang terulung dan dihormati semua pihak.

"Ini bukan soal mempolitikkan isu tetapi ini adalah soal prinsip yang telah dijunjung oleh seluruh sistem perundangan dan rakyat Malaysia," katanya.

Minggu lalu, usulan bagi melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut diluluskan dalam persidangan hari Kedua Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sarawak ke-18.

Usulan itu yang disokong 70 ADUN dan 10 menentang dikemukakan selepas Dr Ting dikatakan mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia setelah lama bermastautin di sana. 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan