Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kematian ketua Abu Sayyaf diharap tamatkan episod penculikan di Sabah

Kejayaan pihak keselamatan Filipina menembak mati ketua kumpulan Abu Sayyaf (ASG), Isnilon Hapilon dalam pertempuran terbaru di Marawi, selatan Filipina adalah satu perkembangan positif yang diharap dapat menamatkan insiden penculikan khasnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone). 

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian ketua Abu Sayyaf diharap tamatkan episod penculikan di Sabah

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Oct 2017 07:05PM Dikemas Kini : 16 Oct 2017 09:07PM

TAWAU: Kejayaan pihak keselamatan Filipina menembak mati ketua kumpulan Abu Sayyaf (ASG), Isnilon Hapilon dalam pertempuran terbaru di Marawi, selatan Filipina adalah satu perkembangan positif yang diharap dapat menamatkan insiden penculikan khasnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone). 

Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata ia juga diharap dapat mengembalikan suasana aman di perairan Laut Sulu, sekali gus membolehkan semua aktiviti ekonomi berjalan seperti sebelum ini. 

Pada masa sama, beliau meminta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom)  memperketat kawalan di sepanjang sempadan perairan Malaysia-Filipina kerana khuatir kumpulan serpihan ASG akan melarikan diri ke Sabah untuk mengelak diburu pihak berkuasa Filipina.    

"Mereka mungkin akan menyamar sebagai nelayan, pedagang atau pelancong untuk menyusup masuk ke Sabah dan keadaan ini harus diberikan perhatian maksimum agar tahap keselamatan di Sabah boleh dikekalkan,” katanya kepada Bernama hari ini (16 Okt).

Beliau turut menggesa warga Sabah membantu pihak ESSCom dengan menyampaikan sebarang maklumat berkaitan kehadiran individu mencurigakan di kawasan masing-masing supaya tindakan pantas dan sewajarnya boleh diambil.

Portal berita The Phillipine Inquirer.Net melaporkan bahawa Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana mengesahkan Isnilon dan pemimpin kumpulan pengganas Maute, Omar Mauter terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina di Marawi, selatan Filipina.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata warga Sabah berterima kasih kepada kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus memberikan tumpuan kepada usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan negara khasnya di kawasan pantai timur Sabah.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan