Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kelantan longgarkan arahan larangan berniaga ketika waktu Maghrib buat golongan bukan Islam

Arahan larangan berniaga yang dikenakan kerajaan Kelantan kepada peniaga pasar malam tidak dikuatkuasakan ke atas peniaga dan pengunjung bukan Islam. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kelantan longgarkan arahan larangan berniaga ketika waktu Maghrib buat golongan bukan Islam

Gambar hiasan. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Apr 2017 05:43PM Dikemas Kini : 20 Apr 2017 05:47PM

KOTA BHARU: Arahan larangan berniaga yang dikenakan kerajaan Kelantan kepada peniaga pasar malam tidak dikuatkuasakan ke atas peniaga dan pengunjung bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Ab Fattah Mahmood menjelaskan, peniaga dan pengunjung pasar malam bukan Islam boleh berurus niaga pada waktu penutupan operasi perniagaan waktu Maghrib selama 10 minit yang dikuatkuasakan ke atas peniaga dan pengunjung Islam.

"Arahan penutupan perniagaan tersebut bertujuan memberi keselesaan kepada peniaga Islam untuk menunaikan solat Maghrib kerana waktunya agak singkat iaitu lebih kurang satu jam sahaja. Kalau kita tidak wujudkan satu waktu khusus kepada mereka dibimbangi mereka akan terlepas menunaikan ibadat wajib itu sedangkan solat itu tiang agama.

"Sehubungan itu peniaga dan pengunjung bukan Islam tidak perlu bimbang kerana tiada larangan yang kita tetapkan untuk mereka berurus niaga pada waktu tersebut," katanya hari ini (20 Apr).

Ab Fattah mengulas tindakan beberapa pihak termasuk Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa yang mempersoal arahan kerajaan negeri itu dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang menyifatkan arahan itu tidak sah dan tidak mempunyai asas dalam undang-undang.

Ab Fattah berkata dasar penutupan operasi pasar malam pada waktu Maghrib yang diperkenalkan di Kelantan sejak 1995 tidak sepatutnya dijadikan pertikaian atau diperbesarkan kerana ia sudahpun diterima baik oleh rakyat negeri tersebut.

"Selama ini kita tiada sebarang masalah berhubung dasar ini sehinggalah ada individu yang cuba memutarbelit dan mempolitikkan isu ini. Kita rasa sangat sedih kerana langkah yang kita laksanakan bertujuan membentuk peniaga yang taat kepada perintah Allah selaras dengan dasar membangun bersama Islam di negeri ini," katanya.

Tambahan pula katanya berdasarkan Akta 171 di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), PBT mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan arahan am menyentuh kepentingan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat memilih pasar malam tertentu untuk diberi penganugerahan berdasarkan beberapa kreteria termasuk pematuhan kepada dasar yang ditetapkan kerajaan negeri itu. 

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan