Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kambing boleh 'mengecam' raut wajah manusia

Para pengkaji di Universiti Cambridge berjaya melatih kambing untuk kenal pasti wajah bintang-bintang popular seperti Jake Gyllenhaal dan Emma Watson, juga mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Anggaran Waktu Membaca:
Kambing boleh 'mengecam' raut wajah manusia

(Gambar: AMY COOPES / AFP)

Diterbitkan : 09 Nov 2017 04:02PM Dikemas Kini : 09 Nov 2017 04:04PM

UNITED KINGDOM: Para pengkaji di Universiti Cambridge berjaya melatih kambing untuk kenal pasti wajah bintang-bintang popular seperti Jake Gyllenhaal dan Emma Watson, juga mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Selepas melatih binatang itu, kambing berkenaan memilih gambar-gambar yang dikenalinya lebih banyak kali berbanding mengecam muka-muka yang tidak pernah dilihat, menurut laman berita BBC.

Hasil kajian ini menunjukkan keupayaan kambing-kambing mempunyai ciri untuk mengecam muka manusia sama seperti primat. Kajian sebelum ini menunjukkan kambing mampu untuk mengecam kambing yang lain dan pengendali manusianya yang dikenalinya.

"Apa yang kami lakukan adalah untuk menanyakan sama ada kambing mampu untuk mengecam seseorang hanya menerusi gambar," kata ketua kajian tersebut Prof Jenny Morton kepada BBC.

"Tumpuan kami adalah untuk mempelajari sama ada binatang boleh membezakan objek dua demensi sama seperti manusia."

Lapan kambing betina jenis Welsh Mountain dilatih untuk membezakan empat gambar selebriti dan gambar yang tidak dikenali, dan diberikan makanan sebagai ganjaran.

Kambing-kambing tersebut ditayangkan gambar yang berbeza pada dua skrin komputer; dan kambing tersebut akan mematahkan pancaran infra-merah menggunakan hidungnya untuk mengeluarkan makanan.

Selepas memastikan kebolehan kambing untuk mengenal pasti muka-muka selebriti, para pengkaji memberikannya tugasan baru. Mereka mahu memeriksa sama ada kambing berkenaan mampu untuk mengenal pasti gambar-gambar dari sudut yang berbeza.

Hasilnya juga tidak mengecewakan.

Ia membuktikan kebolehan kambing untuk mengenal pasti raut wajah sama seperti monyet dan manusia.

Pada masa hadapan, para pengkaji berharap untuk mengkaji sama ada kambing boleh mengecam ekspresi pada wajah manusia. Kajian seperti itu boleh mempunyai implikasi bagi membantu dalam kajian seperti penyakit Huntington dan Parkinson's, menurut BBC.  

Sumber : Agensi berita/FA/
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan