Images
  • emperor akihito
    Gambar fail Maharaja Akihito dari Jepun. (Gambar: Reuters)

Kabinet Jepun luluskan rang undang-undang benarkan Maharaja Akihito turun takhta

TOKYO: Kerajaan Jepun pada hari Jumaat (19 Mei) meluluskan rang undang-undang yang membolehkan Maharaja Akihito untuk turun takhta dan menyerahkan tugas kepada Putera Mahkota Naruhito.

Langkah melepaskan takhta oleh Maharaja Jepun itu adalah yang pertama kali berlaku dalam tempoh 200 tahun.

Kabinet Perdana Menteri Shinzo Abe meluluskan undang-undang itu, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga kepada para wartawan. Rang itu akan diserahkan kepada parlimen untuk dibahaskan sebelum diberi kelulusan muktamad.

"Kerajaan berharap penggubalan undang-undang berjalan dengan lancar," menurut Suga dalam satu sidang media.

Laporan-laporan mengenai keinginan maharaja yang berusia 83 tahun itu untuk bersara mengejutkan rakyat Jepun apabila ia mula diumumkan pada bulan Julai lalu.

Pada bulan Ogos, Maharaja Akihito menzahirkan hasrat mahu melepaskan takhta atas faktor kesihatan dan usia yang menyukarkan beliau menjalankan tugas rasmi.

Buat masa ini, undang-undang Jepun tidak mempunyai peruntukan untuk turun takhta, lantas memerlukan satu penggubalan undang-undang oleh anggota politik.

Selepas rang itu diluluskan parlimen kelak, Maharaja Akihito mempunyai masa sehingga tiga tahun untuk turun takhta dan diganti Putera Mahkota Naruhito.

Kerajaan Jepun sebelum ini mempertimbangkan Disember 2018 sebagai tarikh Maharaja untuk turun takhta kerana pada ketika itu beliau akan mencecah usia 85 tahun.

Putera Mahkota Naruhito kemudian dijangka naik takhta hari berikutnya, seperti yang dilaporkan Japan Times sebelum ini. 

- CNA/ns

Komen Anda?

Top
>