Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jokowi: "Saya tidak akan lindungi Ahok"

Presiden Indonesia Joko Widodo menegaskan beliau tidak akan melindungi gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau juga dikenali sebagai Ahok, yang dituduh menghina Quran.

Anggaran Waktu Membaca:
Jokowi: "Saya tidak akan lindungi Ahok"

Presiden Indonesia, Joko Widodo. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 08 Nov 2016 08:36PM Dikemas Kini : 08 Nov 2016 08:37PM

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo menegaskan beliau tidak akan melindungi gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau juga dikenali sebagai Ahok, yang dituduh menghina Quran.

"Saya menegaskan bahawa, dan rakyat harus tahu tentang ini, saya tidak akan melindungi Basuki Tjahaja Purnama kerana proses undang-undang sudahpun bermula," kata Encik Widodo hari ini (8 Nov) selepas pertemuan dengan para pemimpin Muhammadiyah, sebuah pertubuhan Islam bukan pemerintah.

Encik Widodo menambah bahawa proses undang-undang terhadap Ahok akan dilakukan dengan cara yang telus dan tegas. Beliau juga menggesa polis tidak tunduk kepada sebarang tekanan dari mana-mana kumpulan atau pertubuhan.

Encik Widodo dilihat sebagai sekutu rapat Ahok, yang bertugas sebagai timbalannya sekitar dua tahun ketika Encik Widodo menjadi gabenor Jakarta.

Ahok, yang beragama Kristian dan merupakan warga berbangsa Cina pertama memegang jawatan sebagai gabenor Jakarta, menjadi sasaran kumpulan-kumpulan tegar yang menuduhnya menghina Quran.

Pada September, Ahok meminta para penduduk semasa satu lawatan ke Kepulauan Seribu di Jakarta supaya tidak "terpedaya" dengan mereka yang berkata adalah berdosa bagi orang Islam mengundi untuk pemimpin bukan Islam.

Merujuk kepada sepotong ayat Quran, Ahok menggesa pengundi supaya tidak terpengaruh dengan provokasi agama. Beliau sudahpun meminta maaf atas komen-komennya.

Semalam, Ahok, yang akan bertanding dalam pilihan raya gabenor Jakarta tahun depan untuk mempertahankan jawatannya itu, disoal siasat polis sekitar sembilan jam mengenai tuduhan penistaan agama yang dikenakan terhadapnya itu.

Pemerintah Indonesia menyatakan ia akan mempercepatkan proses kes itu, dan cuba menghuraikannya dalam masa dua minggu.

Jika didapati bersalah, Ahok boleh dipenjara sehingga lima tahun, dan ini bermakna beliau tidak dapat bertanding dalam pilihan raya gabenor Jakarta.

Puluhan ribu orang dari serata Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di Jakarta pada Jumaat lalu dan mendesak pihak berkuasa mendakwa Ahok.

Tunjuk perasaan di luar Istana Presiden, yang rata-rata aman pada siang hari, bertukar menjadi ganas dengan para penunjuk perasaan bertempur dengan polis.

Polis sudah menangkap lima anggota Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) berhubung tunjuk perasaan itu.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan