Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jokowi arahkan pihak berkuasa bersiap sedia lebih awal bagi kebakaran hutan tahun ini

Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa semua pihak berkuasa yang relevan supaya bersiap sedia untuk melawan sebarang kebakaran hutan tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Jokowi arahkan pihak berkuasa bersiap sedia lebih awal bagi kebakaran hutan tahun ini

Presiden Joko Widodo di mesyuarat penyelarasan tentang kebakaran hutan di Istana Negara. (Gambar: Courtesy of Press Bureau, Indonesian Presidential Secretariat)

Diterbitkan : 24 Jan 2017 11:11AM Dikemas Kini : 24 Jan 2017 11:12AM

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa semua pihak berkuasa yang relevan supaya bersiap sedia untuk melawan sebarang kebakaran hutan tahun ini.

Bercakap di satu mesyuarat penyelarasan tentang isu itu semalam (23 Jan), Encik Widodo mengingatkan para hadirin tentang kemusnahan besar-besaran pada 2015. Sejumlah besar tanah binasa dan mutu udara merosot kepada tahap paling dahsyat yang pernah direkodkan, hingga menjejas bukan sahaja Indonesia tetapi beberapa negara di Asia Tenggara. Pihak berkuasa Indonesia menghabiskan 1 trilion rupiah (S$104 juta) untuk memadamkan kebakaran-kebakaran itu.

"Saya percaya kami semua ingat tentang kebakaran-kebakaran pada 2015. Kami benar-benar dalam keadaan kucar-kacir ketika itu. Namun, kebakaran sudah menjadi terlalu besar ketika itu, semua usaha kami tidak membuahkan hasil," kata Encik Widodo di Istana Negara.

Sejak itu, Indonesia sudah meningkatkan usahanya untuk mencegah kebakaran hutan, yang termasuk memperkenalkan larangan terhadap menukar tanah gambut menjadi ladang pertanian.

Encik Widodo menarik perhatian bahawa pada 2016, bilangan tompok panas merosot kepada sekitar 83 peratus dan berkata beliau berharap ini dapat dikurangkan lagi tahun ini. Beliau mengarahkan para pegawai supaya meneruskan usaha-usaha yang diambil tahun lalu dan meningkatkan status amaran tentang kebakaran hutan, lebih awal.

Beliau menambah bahawa data dari Agensi Geofizik, Klimatologi dan Meteorologi (BMKG) menunjukkan tahun ini Indonesia akan mengalami cuaca lebih kering tahun ini berbanding 2016, meningkatkan risiko lebih banyak kebakaran hutan.

Encik Widodo juga menekankan bahawa penguatkuasaan ketat mesti dilaksanakan, dan masyarakat serta syarikat-syarikat perlu mematuhi peraturan pemerintah.

Sejumlah kabupaten di wilayah Riau di Indonesia sudahpun meningkatkan tahap amaran, yang akan membolehkan pemerintah pusat menghantar bantuan kepada mereka.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional di kabupaten Rokan Hulu, Aceng Herdina, memberitahu Jakarta Post bahawa tompok-tompok panas dikesan di sejumlah daerah baru-baru ini, dan sudah dikenal pasti sebagai kebakaran hutan dan ladang.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan