Images
  • joker
    "Joker" melarikan diri dengan wang yang dirompak. (Gambar: Polis Queensland)

"Joker" Batman rompak pub, acukan senapang; sempat ucapkan selamat malam

AUSTRALIA: Seorang perompak yang bersenjatakan selaras senapang memakai topeng ala watak Joker daripada filem Batman menyerbu masuk sebuah pub sebelum melarikan diri dengan wang tunai yang lumayan.

Bukan sekadar itu, dia sempat mengucapkan "selamat malam" kepada mangsa.

Pihak polis bergegas ke pub itu pada 8.20 malam Selasa (18 Apr) selepas lelaki itu mengancam kakitangan pub itu menggunakan senapang dan meminta wang.

Rakaman CCTV menunjukkan lelaki "Joker" itu - yang memakai seluar pendek dan bertopeng ala Joker yang dilakonkan Heath Ledger - memasuki pub itu dan mengacu-acukan senapang itu.

Dalam video itu, dia mengacukan senapang itu ke arah seorang tetamu yang sedang menggunakan mesin hiburan sebelum mengancam seorang kakitangan di kaunter pembayaran.

Apabila wanita itu memasukkan wang tunai ke dalam begnya, perompak berkenaan melarikan diri.

Menurut laporan Mirror, insiden itu berlaku di sebuah pub di Queensland, Australia.

Seorang jurucakap Polis Queensland berkata: "Tiada orang cedera daripada insiden itu. Siasatan kami masih dijalankan."

Polis menambah perompak itu, yang masih lagi dicari, dilihat kali terakhir berlari di landasan keretapi berdekatan.

Seorang saksi berkata perompak itu mengucapkan kakitangan itu "selamat malam" sebelum melarikan diri, yang ditukil laporan Queensland Times. 

- Agensi berita/ru

Komen Anda?

Top
>