Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jenayah kebencian di Amerika meningkat 2 tahun berturut-turut

Amerika Syarikat menyaksikan lebih banyak jenayah kebencian pada 2016 berbanding tahun sebelumnya, namun pakar-pakar mengatakan bahawa masalah itu mungkin lebih besar daripada jumlah kes yang didedahkan, lapor agensi berita China, Xinhua.

Anggaran Waktu Membaca:
Jenayah kebencian di Amerika meningkat 2 tahun berturut-turut

Para penunjuk perasaan di Amerika Syarikat. (Gambar: AFP/JUSTIN SULLIVAN)

Diterbitkan : 14 Nov 2017 10:32PM Dikemas Kini : 14 Nov 2017 10:35PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat menyaksikan lebih banyak jenayah kebencian pada 2016 berbanding tahun sebelumnya, namun pakar-pakar mengatakan bahawa masalah itu mungkin lebih besar daripada jumlah kes yang didedahkan, lapor agensi berita China, Xinhua.

Jumlah jenayah kebencian pada 2016 ialah 6,121 iaitu peningkatan sebanyak 4.6 peratus. Ini berbanding 5,850 pada 2015, menurut data terbaru yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) semalam (13 Nov).

Kesemua insiden jenayah itu, menurut laporan tersebut, adalah didorong oleh prasangka terhadap bangsa, etnik, keturunan, agama, orientasi seksual, kecacatan, jantina atau identiti jantina.

Menurut data berkenaan, jumlah jenayah kebencian meningkat dalam tempoh dua tahun berturut-turut. Selain itu, kebanyakan insiden adalah bersifat "single-bias" iaitu disebabkan oleh prasangka terhadap perkara yang sama.

FBI menjelaskan bahawa mangsa jenayah kebencian mungkin individu, perniagaan, entiti kerajaan, organisasi keagamaan, atau masyarakat secara keseluruhan.

Daripada jumlah jenayah kebencian yang bersifat 'single-bias' pada 2016, hampir 58 peratus adalah disebabkan oleh prasangka terhadap bangsa, etnik atau keturunan manakala 21 peratus disebabkan oleh prasangka terhadap agama dan kira-kira 18 peratus disebabkan oleh orientasi seksual.

Data FBI mendedahkan bahawa lebih separuh insiden yang membabitkan bangsa adalah insiden antikulit hitam manakala 20 peratus adalah insiden antikulit putih. 

Selain itu, lebih separuh daripada jenayah kebencian yang membabitkan agama adalah anti-Yahudi manakala satu perempat adalah anti-Islam.

"Tiada sesiapapun yang harus takut akan diserang hanya disebabkan siapa mereka, apa yang mereka percaya atau cara mereka beribadat," kata Peguam Negara AS Jeff Sessions dalam satu kenyataan selepas statistik itu dikeluarkan.

Laporan FBI itu adalah berdasarkan laporan sukarela oleh lebih 15,000 agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan.

Bagaimanapun, sesetengah pihak berkata data FBI itu tidak lengkap kerana hampir 90 bandar dengan populasi lebih 100,000 sama ada dilaporkan sebagai tiada jenayah kebencian atau tidak memberikan data bagi tahun 2016.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan