Images
  • singtel logo
    Logo Singtel di luar ibu pejabatnya di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Jenama-jenama S'pura, M'sia raih anugerah penjenamaan dunia

LONDON: Edisi keempat bagi Anugerah Penjenamaan Dunia yang berprestij menyaksikan 245 jenama dari 32 buah negara dinobatkan sebagai "Jenama Terbaik" tahunan dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di pintu masuk utama dan Orangery di Istana Kensington semalam (12 Okt).

Jenama-jenama Singapura yang diiktiraf termasuk BreadTalk, DBS, Great Eastern, Raffles Education, Singapore Airlines, Singtel dan Skylight (Makanan Tin).

Manakala antara pemenang peringkat kebangsaan dari Malaysia termasuk Maybank (perbankan), Spritzer (air), Sunway Lagoon (taman tema), Sunway Property (pemaju hartanah) dan OLDTOWN White Coffee (peruncit – kopi) dan Unifi.

Pemenang dinilai berdasarkan tiga aspek: penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna, dan pengundian dalam talian awam. Tujuh puluh peratus daripada proses pemarkahan datang daripada undi pengguna. Setiap jenama dinamakan "Jenama Terbaik bagi Tahun itu" dalam kategori mereka masing-masing.

"Anugerah itu meraikan pencapaian beberapa jenama terhebat di seluruh dunia. Kesemua 245 pemenang menunjukkan bahawa mereka berada di bahagian paling atas di dalam aspek penjenamaan mereka.

Dengan begitu banyak persaingan, sukar bagi jenama-jenama untuk menang di dalam kategori mereka masing-masing," kata Richard Rowles, Pengerusi bagi Forum Penjenamaan Dunia.

"Berikutan kejayaan satu lagi kempen, tahun ini menyaksikan peningkatan di dalam penyertaan bagi anugerah itu. Lebih 135,000 pengguna dari seluruh dunia mengundi bagi lebih 3,000 jenama dari 35 buah negara.

Bukan semua kategori diberikan anugerah dan sesetengah negara tidak mempunyai jenama yang mencukupi untuk layak," kata Peter Pek, Ketua Eksekutif bagi Forum itu.

Anugerah ini dianjurkan oleh Forum Penjenamaan Dunia, sebuah organisasi global yang tidak mencari keuntungan yang dikhususkan untuk meningkatkan piawaian penjenamaan bagi kebaikan komuniti penjenamaan dan juga pengguna.

Ia menganjurkan dan menaja pelbagai bentuk program pendidikan, dan mempunyai kerjasama bersama universiti dan muzium terkemuka. Forum itu juga menerbitkan berita-berita penjenamaan di laman web mereka yang menjangkau lebih dari 5 juta penonton di seluruh dunia. 

- BERNAMA/AQ/aq

Komen Anda?

Top