Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Janda-janda ISIS dedah realiti sebenar – jadi objek seks - hidup di bawah “khilafah Islam”

(anggota ISIS) mahukan sebenarnya hanyalah wanita dan seks. Amat menjijikkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Janda-janda ISIS dedah realiti sebenar – jadi objek seks - hidup di bawah “khilafah Islam”

Gambar hiasan. (Gambar: DELIL SOULEIMAN / AFP)

Diterbitkan : 19 Jul 2017 10:38PM Dikemas Kini : 19 Jul 2017 10:58PM

SYRIA: Tiga wanita Indonesia ini – iaitu adik beradik bernama Rahma, Fina dan Noor - berkata mereka terpanggil untuk ke Raqqa setelah mendengar janji manis ISIS mengenai jagaan kesihatan dan pendidikan percuma. Namun, ini rumusan mereka setelah tinggal di bawah ISIS:

“Mereka berkata mereka mahu berjihad demi Allah, namun apa yang mereka (anggota ISIS) mahukan sebenarnya hanyalah wanita dan seks. Amat menjijikkan.” Demikian kata Rahma kepada CNN. Ketiga-tiga beradik itu menambah, mereka tidak berkahwin dengan anggota ISIS.

Mereka, yang membayar sejumlah besar wang untuk ke Raqqa dari Jakarta bersama keluarga, berkata mereka kecewa apabila mendapat tahu bahawa anggota ISIS bukanlah “Muslim sebenar” seperti yang mereka sangkakan.

PAGI AJAK KAHWIN, MALAM MAHUKAN JAWAPANNYA

“Saya dengar jika mereka berkahwin dengan janda mereka akan mendapat ribuan dolar,” tambah Fina. “Pada sebelah pagi mereka mengajak saya berkahwin dan mahukan jawapan pada sebelah malam.”

Menurut Noor pula, beliau begitu terkejut melihat keadaan wanita-wanita di dormitori di sana, yang sering bergaduh.

"Tingkah laku mereka jauh berbeza daripada ajaran Islam,” kata beliau. “Mereka tidak beradab, gossip, terpekik-pekik, mengumpat dan bergaduh antara sesama wanita. Saya amat terkejut,” ujarnya lagi kepada agensi berita Amerika itu.

Wanita-wanita tersebut, yang mendakwa mereka datang ke Raqqa untuk mendapatkan jagaan kesihatan percuma bagi penyakit barah Rahma dan juga pembelajaran computer Fina, kini tidak sabar untuk menghubungi kedutaan Indonesia dan pulang ke negara itu.

Namun, masih belum jelas sama ada wanita-wanita di sana akan dapat keluar dari Syria, apalagi untuk pulang, lapor CNN. Mereka kini dihimpunkan di sebuah penjara.

WANITA YANG DIPANCING DAN TERPERANGKAP

Wanita-wanita tersebut dan ramai lagi yang merupakan janda para anggota militan ISIS mendedahkan bahawa mereka begitu terkejut setelah mengetahui dan melalui sendiri kehidupan di bawah ISIS, lapor laman CNN.

Seorang guru Bahasa Inggeris yang berasal dari Homs pula menegaskan bahawa beliau sebenarnya sedang dalam perjalanan untuk ke Turki apabila ditahan di Raqqa dan kemudian jatuh cinta dengan seorang militan dari Maghribi.

Mereka ini adalah wanita-wanita yang dipancing dengan nikmat kehidupan di bawah sebuah khilafah namun kini terperangkap antara dua keadaan yang tidak menentu – kubu kuat ISIS yang semakin melemah dan juga negara asal mereka yang mungkin tidak mahu menerima mereka kembali.

INDAH KHABAR DARI RUPA

Dalam keadaan cuaca panas terik di Syria, puluhan janda ISIS terpaksa meringkuk di dalam sebuah penjara, yang sesak, bersama anak-anak mereka. Mereka diasingkan daripada para penduduk lain di sebuah kem pelarian di Ain Issa, kira-kira 50 kilometer dari utara Raqqa.

Sadia, yang berasal dari Montpellier, di selatan Perancis, adalah antara janda ISIS yang melarikan diri sedang pasukan-pasukan yang disokong Amerika Syarikat yang terus memasuki bandar itu, lapor CNN.

Ramai dalam kalangan janda di sana yang berkata mereka membayar para penyeludup untuk memandu mereka ke pinggir bandar Raqqa, di mana pasukan Kurdi mengambil mereka sebelum membawa mereka ke Ain Issa.

“Saya cintakan kehidupan, saya suka bekerja, saya gemar memakai seluar jeans dan solekan, saya juga sayangkan ibu bapa saya,” kata Saida.

“Satu-satunya perkara yang ingin saya lakukan adalah pulang, ambil kereta saya dan melancong,” tambah beliau.

Saida berkata beliau dan suaminya, seorang militan bernama Yassine, membayar penyeludup sebanyak AS$6,000 (S$8,206) untuk membawa mereka keluar dari bandar tersebut. Yassine bagaimanapun meninggal dunia semasa dalam perjalanan, meninggalkan beliau dengan anak lelaki mereka yang baru berusia 14 bulan.

Saida dan juga wanita asing lain, datang ke ‘khilafah Islam’ di Syria setelah dijanjikan kehidupan baru bersama lelaki-lelaki yang perkasa dan beriman, lapor CNN.

ADA WANITA DIKAHWINI SEMULA 6 KALI

Namun, semuanya hanyalah janji manis dan indah khabar dari rupa. Di sana, mereka mendapati kaum wanita sering bergaduh, anggota ISIS obses dengan seks, wanita diceraikan dengan mudah dan dikahwini semula sebanyak enam kali.

Saida berkongsi pengalamannya dimasukkan ke sebuah dormitori yang dipanggil ‘madafa’, di mana wanita yang baru tiba dipilih sebagai anggota ISIS. Beliau begitu terkejut dengan peraturan-peraturan dormitori dan juga kegiatan berpacaran atau ‘dating’ yang dilakukan di sana.

“Apabila tiba di madafa, seorang wanita perlu menyiapkan biodata,” kata Saida. “kami perlu menulis nama, usia dan personaliti diri serta apa yang kami inginkan dalam diri seorang lelaki.”

“Lelaki dan perempuan kemudian bertemu dan berbual selama 15 hingga 20 minit dan kemudian kami perlu menyatakan sama ada kami bersetuju atau tidak. Jika kedua-duanya bersetuju, mereka akan bernikah. Ia berlaku pantas,” tambah Saida dalam laporan CNN itu.

DICERAIKAN SETELAH 3 ATAU 4 HARI BERKAHWIN

Bagi May, seorang guru Bahasa Inggeris dari Homs, beliau tidak mencari cinta apabila tiba di Raqqa. Beliau mendakwa hanya melalui bandar tersebut untuk ke Turki, di mana beliau mahu menetap setelah suaminya dibunuh oleh penembak hendap.

Beliau bersama anak-anaknya tinggal di rumah seorang rakan dan di situlah beliau bertemu Bilal, jiran sebelah rumah, lapor CNN.

“Saya rasa Tuhan menemukan kami,” katanya sambil tertawa.

Seperti ramai janda ISIS yang ditahan di penjara, May menyifatkan Bilal sebagai lelaki yang baik, seorang individu yang enggan berperang. Namun beliau membuka cerita tentang wanita-wanita lain di Raqqa yang tidak bernasib baik.

“Mereka (wanita-wanita Eropah) melihat lelaki-lelaki Eropah yang menyertai ISIS seperti lelaki kuat yang bersenjata dan mampu melindungi diri mereka. Ia satu gambaran seperti dalam filem,” kata May kepada wartawan CNN. “Ramai yang begitu terkejut kerana setelah berkahwin, hanya dalam tempoh tiga atau empat hari atau mungkin sebulan, mereka diceraikan.”

May juga mendedahkan tentang seorang wanita yang dinikahi dan kemudian diceraikan sebanyak enam kali sehingga seorang hakim di khilafah tersebut mengancam mahu menjatuhi hukuman rotan atau penjara ke atasnya.

May pula, masih merindui suaminya, yang dikatakan dimasukkan ke dalam penjara berdekatan sempadan Kobani. Di satu sudut tembok di mana May berada, nama suaminya ditulis di dalam lukisan berbentuk hati. May mengakui beliau tidak tahu apa yang akan dilakukan jika beliau tidak dapat berjumpa dengan Bilal lagi.

“Saya mahu seseorang membunuh saya. Saya tidak boleh membunuh diri sendiri kerana ia perbuatan membunuh diri,” katanya dengan penuh keyakinan. 

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan