Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Isu Baitulmakdis: Media sosial digunakan suarakan bantahan terhadap tindakan Trump

Awal hari ini (7 Dis), Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terus berdegil dan tidak mengendahkan desakan para pemimpin dunia lainnya, dan mengambil keputusan mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu Baitulmakdis: Media sosial digunakan suarakan bantahan terhadap tindakan Trump

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: REUTERS/Kevin Lamarque)

BERITAMediacorp: Awal hari ini (7 Dis), Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terus berdegil dan tidak mengendahkan desakan para pemimpin dunia lainnya, dan mengambil keputusan mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Keputusan beliau untuk 'menunaikan' dengan janji utama kempen pilihan raya Amerika tahun lalu itu, dianggap Presiden Trump sebagai permulaan "pendekatan baru" bagi menghuraikan konflik Israel-Palestin.

Akibatnya, ramai pihak mengkritik tindakan itu dan memberi amaran tentang pertumpahan darah yang dijangka menyusul di Timur Tengah.

Media sosial kini menjadi medan tokoh-tokoh dan personaliti dunia menyuarakan pandangan dan bantahan mereka dengan hashtag seperti #JerusalemthePalestiniancapital dan #baitulmaqdis.

Berikut ini BERITAMediacorp membawakan reaksi dari sebilangan personaliti mengenai langkah penuh kontroversil Presiden Trump itu.

MOHAMED HADID

Mohamed Hadid, bapa kepada selebriti terkenal Bella dan Gigi Hadid, menyifatkan hari ini sebagai "hari yang paling sedih dalam hidup saya".

Warga Palestin itu berkongsi gambar Haram al-Shariff dengan catatan berikut: "ini bukan satu perjanjian hartanah ... apa yang lebih teruk adalah kesemua pemimpin Arab 'menjual' kami ... tiada rasa malu, tiada hati, tiada jiwa. Sikap mereka menjijikkan. Bumi Palestin untuk rakyat Palestin."

IMAM SHAMSI ALI

Imam Shamsi Ali pula, seorang tokoh dialog Islam-Yahudi di New York, yang berasal dari Indonesia, turut menolak keras pengiktirafan Presiden Trump.

Menerusi artikel yang dikongsi di media sosial, beliau berkata: "Dengan keputusan Donald Trump ini kecurigaan itu seolah menjadi bukti nyata. Bukan lagi kecurigaan tapi telah terjadi di depan mata bahawa Amerika memang selalu menjadi “bumper” bagi kepentingan Israel.

"Tindakan Amerika akan menjadi bulan-bulanan kebencian dan kemarahan dunia Islam. Dan pada akhirnya masyarakat Amerika secara luas akan menjadi korban, demi ambisi Donald Trump untuk memuaskan segelintir pendukungnya."

OMAR SAFI

Dr Omid Safi, pengarah Pusat Pengajian Islam di Universiti Duke pula mengundang orang ramai untuk merenung nasib mereka yang tinggal di kawasan tersebut.

"Sudah tiba masanya untuk mengutarakan suara rakyat Palestin sebagai mereka yang paling rentan buat masa ini," kongsinya di Facebook.

Beliau turut muat naik surat yang dikirim Ketua-Ketua Gereja Tempatan di Baitulmakdis (Patriachs and Heads of Local Churches in Jerusalem) kepada Presiden Donald Trump untuk membiarkan Baitulmakdis dihuni semua penganut, dan bukan memihak kepada hanya satu golongan sahaja.

CAPRICE

Isu tersebut juga menarik perhatian artis Rap popular Malaysia, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dalam video dimuat naik dalam Instagram miliknya.

Dengan nada sedih sehingga mengalirkan air mata, Caprice berharap suaranya mampu membuka mata pihak yang bertanggungjawab untuk menentang keputusan yang dibuat oleh Trump.

“Saya rasa sakit jika teruskan menipu dengan diri sendiri dan jihad saya tidak disampaikan," katanya.

USTAZ ABDUL HADI AWANG

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tampil di Instagram untuk mengkritik langkah Presiden Trump sekeras-kerasnya.

"Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang disifatkan mencabar kesabaran umat Islam dan mencemarkan kesucian bumi Al-Quds.

“PAS mengharapkan Perdana Menteri menghantar surat bantahan kepada Rumah Putih dan memanggil segera Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan rakyat Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu PAS juga sudah mengarahkan semua ahli untuk hadir himpunan aman membebaskan Baitulmaqdis di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur dan di setiap negeri masing-masing pada esok, 8 Disember. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan