Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Isteri dirantai, dibakar suami di Jeddah selepas bergaduh

Dua lelaki berpakat untuk membakar isteri salah seorang daripada mereka. Ini selepas berlakunya pergaduhan antara pasangan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Isteri dirantai, dibakar suami di Jeddah selepas bergaduh

Gambar fail.

Diterbitkan : 17 Aug 2017 11:18PM Dikemas Kini : 17 Aug 2017 11:22PM

JEDDAH: Dua lelaki berpakat untuk membakar isteri salah seorang daripada mereka. Ini selepas berlakunya pergaduhan antara pasangan itu.

Cik Hajar Al-Harbi, yang berusia 30-an tahun, berkata suaminya, yang berusia 40-an tahun, menuang minyak petrol ke seluruh tubuhnya dan membakarnya selepas suaminya dan rakan lelaki suaminya itu merantainya di rumah mereka.

"Adalah satu keajaiban saya masih hidup. Suami saya akan menanggung akibat jenayahnya ini. Mahkamah sudahpun menjatuhkan hukuman penjara setahun empat bulan tetapi rakannya tidak dikenakan sebarang hukuman. Saya tidak faham mengapa dia tidak dijatuhi hukuman," dedah Cik Hajar, seperti dipetik Saudi Gazette.

HUKUMAN 'SANGAT RINGAN'

Beliau juga menambah beliau mendapati hukuman yang dijatuhkan ke atas suaminya itu sangat ringan.

"Saya menghulurkan rekod perubatan yang menunjukkan kesan lecuran yang saya alami. Saya tidak faham mengapa saya tidak dibayar ganti rugi. Siapa yang akan membayar rawatan saya, dan rawatan saya ini akan memakan masa bertahun-tahun.

"Saya menuntut perbicaraan semula terhadap suami saya dan rakannya. Dan saya menuntut bayaran ganti rugi bagi pembedahan plastik yang harus saya jalani kerana ia sudah menelan belanja SR300,000 sejauh ini," cerita Cik Hajar kepada Saudi Gazette.

Mantan hakim Mahkamah Awam Rabigh Abdullah Al-Saidi berkata tertuduh sudah mencabuli hak awam dan privet.

"Biro Siasatan Pendakwa Raya mesti menuntut hukuman yang lebih berat terhadap tertuduh, iaitu hukuman mati, kerana dia mempunyai niat untuk membunuh mangsa dengan membakarnya. Walaupun mangsa masih hidup, beliau menanggung kecederaan tetap," jelas Encik Al-Saidi.

DERITA TERUK YANG DIALAMI MANGSA

Beliau turut berkata tertuduh melanggar hak privet mangsa dan wanita berkenaan mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi. "Beliau berhak dibayar ganti rugi atas kecederaan fizikal dan mental. Mangsa tidak dapat meninggalkan rumahnya sekarang dan mungkin tidak akan dapat berkahwin lagi disebabkan perubahan pada tubuhnya akibat kelecuran yang dialami," kata Encik Al-Saidi.

Ahli psikologi Ahmad Al-Hamid berkata insiden seumpama itu boleh menyebabkan gangguan tekanan pasca trauma.

"Mangsa memerlukan terapi intensif yang mungkin juga memerlukan ubat-ubatan dan sokongan padu keluarganya. Suaminya juga mungkin mengalami paranoia dan halusinasi. Keluarga lelaki itu mesti meyakinkannya untuk menjalani terapi. Jika dia enggan berbuat demikian, keluarganya mesti campur tangan dan memaksanya untuk berjumpa ahli terapi," terang Encik Al-Hamid.

Konsultan Setiausaha Persatuan Hak Manusia Kebangsaan Khalid Al-Fakhry berkata persatuan itu menimbangkan kes seumpama itu sebagai keganasan domestik. Keganasan domestik juga sering dilakukan dengan niat jahat.

Mangsa mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi atas kecederaan yang dilakukan terhadapnya, menurut Saudi Gazette. 

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan