Images
  • Solat
    Umat Islam bersolat jemaah di masjid. (Gambar hiasan: SAEED KHAN / AFP)

Islam punya jumlah penganut paling ramai di dunia jelang 2070

NEW YORK: Islam diramalkan akan mempunyai jumlah penganut paling ramai di dunia menjelang tahun 2070.

Malah, ia satu-satunya agama yang sedang berkembang lebih pesat berbanding bilangan penduduk di dunia ini, lapor The Telegraph, menukil kajian oleh Pusat Kajian Pew yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Menurut kajian itu, bilangan penduduk Muslim di seluruh dunia ini akan meningkat sebanyak 73 peratus antara 2010 hingga 2050, jauh lebih pantas berbanding 35 peratus bagi penganut Kristian, agama kedua paling pesat berkembang.

Dalam tempoh yang sama, jumlah penduduk di dunia dijangka akan tumbuh sebanyak 37 peratus.

Menurut kajian itu, jika kadar pertumbuhan itu dikekalkan menjangkaui 2050, bilangan penduduk Islam akan lebih ramai berbanding penganut Kristian menjelang 2070.

Apakah faktor-faktor yang membawa kepada perkembangan pesat itu?

KADAR KELAHIRAN MAINKAN PERANAN

The Telegraph melaporkan, ia sebahagiannya disebabkan oleh kadar kelahiran di kalangan penganut setiap agama.

Menurut Pusat Kajian Pew, penganut Islam mempunyai kadar kelahiran tertinggi, iaitu 3.1 kanak-kanak bagi setiap wanita, dan ini disusuli oleh penganut Kristian pada 2.7.

Islam juga didapati mempunyai penganut lebih muda berbanding agama lain – 34 peratus berusia di bawah 15 tahun, berbanding purata global 27 peratus. Ini bermakna lebih ramai masih boleh mendapat anak.

Lagi satu faktor menarik, lapor The Telegraph, ialah lebih ramai penganut Kristian diramalkan sama ada akan memeluk agama lain atau keluar daripada agama itu dan tidak mengamalkan kehidupan beragama.

Sekitar 40 juta orang di seluruh dunia diramalkan akan memeluk agama Kristian, namun 106 juta dijangka akan keluar daripada agama tersebut.

Secara keseluruhannya, pada 2010, terdapat seramai 1.6 bilion Muslim di dunia ini, dan 2.17 bilion orang Kristian.

Namun menjelang 2050, bilangan penganut Islam dijangka melonjak ke 2.76 bilion dan penganut Kristian pula, 2.92 bilion.

LEBIH RAMAI MUSLIM MENJELANG 2070, MENURUT KAJIAN

Jika jumlah penganut kedua-dua agama terus berkembang pada kadar pertumbuhan yang sama, bilangan Muslim akan lebih ramai berbanding orang Kristian menjelang 2070, menurut Pusat Kajian Pew.

Kajian itu juga menyatakan penganut Islam akan membentuk 10 peratus daripada jumlah penduduk di Eropah, lapor The Telegraph.

Tinjauan yang dijalankan pusat tersebut tahun lalu menunjukkan, kebanyakan penduduk di Hungary, Itali, Poland dan Greece berkata mereka mempunyai pandangan yang tidak memihak kepada orang Islam.

Sementara pandangan negatif terhadap Muslim lebih jarang berlaku di Perancis, Jerman, Britain dan negara-negara di utara dan barat Eropah.

“Mereka yang berhaluan Kanan dari segi ideology lebih berkemungkinan berbanding yang berhaluan Kiri untuk mempunyai pandangan negatif terhadap Muslim,” menurut kajian tersebut.

Sementara itu, kajian itu meramalkan orang ateis, agnostik dan mereka yang tidak mengamalkan kehidupan beragama akan merosot daripada 16.4 peratus penduduk di dunia kepada 13.2 peratus menjelang 2050, meskipun golongan itu bertambah di Eropah dan Amerika Utara.

- Agensi berita/nd

Komen Anda?

Top