Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia yakin mampu baik pulih tanah gambut seluas 400,000 hektar tahun ini

Indonesia menyatakan usahanya tahun ini untuk membaiki tanah gambut - seluas 400,000 hektar - yang rosak berjalan seperti yang dirancangkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia yakin mampu baik pulih tanah gambut seluas 400,000 hektar tahun ini

Gambar yang dipetik pada 23 Sep, 2015, kebakaran tanah gambut di Banjar, Kalimantan. (Gambar: AFP/Romeo Gacad)

Diterbitkan : 18 May 2017 10:32AM Dikemas Kini : 18 May 2017 10:33AM

INDONESIA: Indonesia menyatakan usahanya tahun ini untuk membaiki tanah gambut - seluas 400,000 hektar - yang rosak berjalan seperti yang dirancangkan.

Ini, meskipun ia hanya berhasil mencapai kurang 10 peratus sasarannya sejauh ini.

Usaha membaik pulih itu dikendalikan oleh Agensi Pembaikpulihan Tanah Gambut, yang ditubuhkan selepas kebakaran hutan pada tahun 2015, salah satu kebakaran paling teruk di Indonesia sejauh ini.

Pada tahun 2015, kebakaran hutan yang paling teruk sejak 1997 memusnahkan jutaan hektar tanah gambut di Indonesia.

Menyedari skala krisis tersebut, Presiden Joko Widodo menubuhkan agensi tersebut, yang ditugaskan untuk membaik pulih sekitar 2 juta hektar tanah gambut yang musnah di tujuh wilayah.

Sejauh ini, agensi itu sudah membaik pulih sekitar 260,000 hektar, kurang 10 peratus.

Sekalipun begitu ketua agensi tersebut, Nazir Foead tidak berputus asa.

"Saya yakin sepenuhnya ia boleh dilaksanakan. Mengapa? Pertama, pemerintah dan masyarakat tempatan turut terlibat. Oleh itu, masyarakat sedemikian akan membangunkan sokongan teknikal dan kewangan sendiri daripada pemerintah dan penderma. Kemudian syarikat-syarikat perlu melaksanakannya di bawah pemantauan dan garis panduan kami," kata Encik Nazir.

Sebahagian besar usaha pembaikpulihan itu melibatkan tali air sedia ada yang dihadang daripada melalui kawasan tanah gambut.

Langkah itu membantu mengekalkan kelembapan sekaligus menyukarkan kebakaran daripada berlaku.

Agensi itu juga menyelaraskan usaha menghadang hampir 20,000 terusan pada tahun ini.

Pada tahun lalu, ia bekerjasama dengan para peladang tempatan, menyekat lebih 16,000 terusan.

Idea itu bagaimanapun, bukan sesuatu yang baru.

Pada tahun 2014, setelah kebakaran hutan memusnahkan tanah mereka, para peladang di kampung Tambusai di wilayah Riau, mula menyekat terusan untuk mencegah kebakaran pada musim kering.

Ternyata usaha mereka berhasil dan tiada kebakaran berlaku lagi.

Usaha mereka itu mengambil masa sekitar seminggu untuk siap dan kosnya melebihi AS$700 (S$970).

Masyarakat di sana menggunakan kayu dan guni-guni pasir untuk menyekat sebahagian terusan.

Tujuannya untuk menaikkan paras air ke paras yang diinginkan dan memastikan tanah gambut sentiasa lembap.

Para peladang turut mempertingkat mekanisme asal menyekat terusan menerusi beberapa ujian yang dijalankan.

Selain kerja-kerja yang dijalankan itu, agensi tersebut turut mewujudkan peta untuk membantu usaha-usaha pembaikpulihan.

Tugas membaik pulih tanah gambut adalah sesuatu yang besar dan kejayaannya bergantung kepada usaha semua pihak.

Hanya dengan cara itu Indonesia akan dapat memastikan tanah gambutnya kekal lembap dan bebas kebakaran. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan