Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia tidak suka dengan pandangan Donald Trump

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla hari ini menyuarakan keprihatinannya tentang komen-komen Donald Trump mengenai orang muslim.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia tidak suka dengan pandangan Donald Trump

Jusuf Kalla dan Donald Trump. (Gambar: AFP/Kazuhiro Nogi/Kena Betancur)

Diterbitkan : 20 Jun 2016 04:24PM Dikemas Kini : 20 Jun 2016 04:39PM

JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla hari ini (20 Jun) menyuarakan keprihatinannya tentang komen-komen Donald Trump mengenai orang muslim.

Encik Kalla berkata, "diskriminasi mengikut agama" boleh mendatangkan dasar-dasar balas membalas dari negara-negara lain.

Dalam wawancara dengan Reuters, Encik Kalla berkata pemerintah Indonesia "tidak senang dengan pandangan-pandangan Encik Trump", yang merupakan calon parti Republican bagi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Ini merupakan pandangan kritikal yang pertama terhadap Encik Trump, dari seorang pemimpin utama Indonesia - negara yang mempunyai penduduk muslim paling ramai.

Ia juga dikeluarkan sedang Encik Trump menggesa supaya lebih banyak kaedah memprofil penduduk dilaksanakan di negaranya bagi membasmi jenayah.

"Sebarang negara, terutama negara-negara besar yang kelihatan membuat dasar-dasar mengenai 'radikalisme' atau diskriminasi mengikut agama, ada satu isu yang buruk," kata Encik Kalla kepada Reuters.

INDONESIA TIMBANG SEKAT DAGANGAN AMERIKA JIKA TRUMP JADI PRESIDEN

Komen-komen Encik Trump yang mengapi-apikan sentimen terhadap orang muslim, termasuk mahu mengharamkan orang muslim daripada memasuki Amerika Syarikat, serta ulasan Encik Trump tentang perdagangan antarabangsa dan dasar luar yang akan diperjuangkannya nanti, kini menimbulkan kebimbangan sebilangan negara Asia.

Apakah ini akan bermakna Amerika Syarikat di bawah kepimpinannya, jika beliau menang, akan lebih bersikap 'memencilkan diri'?

Indonesia, sebagai ekonomi terbesar Asia Tenggara, sudahpun menimbangkan akan menyekat perdagangan dan pelaburan Amerika Syarikat jika Trump menjadi Presiden.

Malah satu petisyen online yang mendesak Jakarta supaya mengharamkan Encik Trump dan perniagaannya daripada memasuki Indonesia, kini sudah menerima lebih 47,000 tanda tangan.

PELABURAN HARTANAH TRUMP DI INDONESIA BOLEH TERANCAM

Para pegawai Indonesia malah dilaporkan sebagai berkata, pelaburan Encik Trump menerusi projek perkongsian resort mewah di Bali dan Jawa, boleh terancam dengan retorik-retorik negatif beliau.

Trump Hotel Collection tahun lalu mengumumkan perkongsian dengan syarikat PT Media Nusantara Citra dari Indonesia untuk menguruskan hotel-hotel mewah baru di Bali dan Jawa Barat. Ini merupakan projek hartanah pertama hartawan hartanah itu di Asia.

Semasa ditanya tentang pelibatan Enck Trump bagi resort tersebut, Encik Kalla memberi amaran, "Tentunya akan ada kesan, bukan bagi Indonesia, tetapi bagi perniagaannya (Encik Trump).

Naib Presiden Indonesia itu menambah, pemerintahnya kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat, kerana komen-komen Encik Trump juga boleh dilihat sebagai strategi berkempen sahaja.

"Berkempen satu perkara, dan kenyataannya nanti satu perkara lain," ujar Encik Kalla.

KOMEN DARI SINGAPURA TENTANG TRUMP

Semalam, komen yang agak keras juga datang dari pemimpin Singapura. Menjawab soalan media tentang Encik Trump semasa menghadiri satu acara berbuka puasa, Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam berkata, masyarakat muslim di Eropah dan Amerika Syarikat kini diserang oleh retorik anti-muslim.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam.

Encik Shanmugam berkata, dalam negara berbilang bangsa, ada modal politik dengan memecah belahkan penduduk, menggunakan isu kaum dan agama. Iaitu dengan mengapi-apikan ketakutan.

Perbuatan sedemikian sangat tidak boleh diterima dan beliau berasa ia secara moral patut dikeji, tambah beliau.

"Orang yang berkuasa, yang beraspirasi memegang pucuk kepimpinan tidak seharusnya berbuat demikian - memecahkan masyarakat dan memencilkan masyarakat Muslim mereka. Ia sedang berlaku di Amerika, ia sedang berlaku di Eropah," ulas Encik Shanmugam yang juga merupakan Menteri Undang-undang. 

Sumber : Reuters/diwai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan