Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia jamin tiada jerebu tahun ini

 Indonesia hari ini (18 Mei) memberi jaminan kepada jiran-jirannya di rantau ASEAN bahawa masalah jerebu rentas sempadan tidak akan berlaku tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 May 2017 05:34PM Dikemas Kini : 19 May 2017 02:12AM

KUALA LUMPUR: Indonesia hari ini (18 Mei) memberi jaminan kepada jiran-jirannya di rantau ASEAN bahawa masalah jerebu rentas sempadan tidak akan berlaku tahun ini.

Penasihat Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Arief Yuwono berkata ramalan itu berdasarkan rekod tahun lepas berikutan kejayaan langkah ketat yang diambil negara berkenaan bagi mengekang kebakaran hutan dan mengawal pencemaran asap jerebu di republik itu.

"Pada 2017, kami membuat pemerhatian dan perbandingan dengan 2016.

"Berikutan El Nino yang lebih lemah serta sistem yang telah diaktifkan di lapangan, kami menjangka kami boleh mengulangi perkara itu (2016), yang menyaksikan hampir tiada langsung berulang kejadian jerebu," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu Sub-rantau Peringkat Menteri mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di sini.

Mesyuarat peringkat tinggi dua hari itu dipengerusikan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Selain Encik Wan Junaidi dan Encik Arief, mesyuarat itu juga dihadiri rakan sejawatan mereka dari Brunei, Singapura dan Thailand.

Berikutan pencemaran teruk akibat jerebu pada 2015, Indonesia mula mengambil langkah serius tahun lalu bagi menangani masalah tahunan itu dan mencapai hasil positif apabila Singapura melaporkan hanya mengalami jerebu selama sehari dan Malaysia, tiga hari.

Arief berkata sejak awal tahun ini, pemerintah Indonesia mengambil langkah untuk mencegah dan mengurangkan pencemaran asap jerebu, termasuk memperkemaskan pasukan bombanya serta mengaktifkan rondaan bersepadu di kawasan yang mudah mengalami kebakaran hutan.

Menurut beliau, pemerintah Indonesia juga meminta syarikat swasta melibatkan diri secara proaktif bagi mencegah kebakaran hutan dan jerebu.

"Kebakaran hutan menjadi tumpuan utama negara dan diselia sendiri oleh presiden kami (Joko Widodo). Pada awal 2017, presiden memberi arahan kepada kami berkaitan kebakaran hutan, dari peringkat penggubal dasar hinggalah ke peringkat tinggi.

"Di samping itu, kami juga memberi komitmen mendalam terhadap penguatkuasaan undang-undang di mana beberapa syarikat sedang disiasat (kerana menyebabkan jerebu)," katanya.

Awal dari itu, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Encik Wan Junaidi berkata Encik Arief memberi jaminan tentang isu berkenaan di mesyuarat tersebut.

Katanya, Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand juga menegaskan tentang kesediaan mereka untuk menghulurkan bantuan sekiranya diminta berbuat demikian dan akan bekerjasama dengan Indonesia dalam aspek respons kecemasan sekiranya diperlukan.

Beliau berkata lima negara anggota ASEAN itu juga mengesahkan komitmen mereka untuk berusaha ke arah mewujudkan ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2020.  

Sumber : Bernama/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan