Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

India batalkan pasport pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik

Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, kini tiada kerakyatan setelah India membatalkan pasportnya.

Anggaran Waktu Membaca:
India batalkan pasport pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik

Pendakwah Dr Zakir Naik. (Gambar: Facebook/Dr Zakir Naik)

Diterbitkan : 19 Jul 2017 09:29PM Dikemas Kini : 19 Jul 2017 09:34PM

KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, kini tiada kerakyatan setelah India membatalkan pasportnya.

The Times of India melaporkan pejabat pasport serantau Mumbai memutuskan untuk membatalkan pasport Dr Zakir Naik seperti yang disyorkan Agensi Penyiasatan Negara (NIA).

Sebelum ini, beliau dikaitkan dengan aktiviti pengganas dan didakwa di bawah Akta (Pencegahan) Kegiatan Haram.

CERAMAH DIKATAKAN PUNYA UNSUR PENGGANASAN

Menurut laporan Times of India, Dr Zakir Naik, 51 tahun, meninggalkan India pada 13 Mei 2016 dan gagal menyertai siasatan NIA terhadap ceramahnya yang didakwa mengajak kepada aksi-aksi pengganasan.

NIA memohon supaya pasportnya dibatalkan setelah Dr Zakir Naik gagal membalas notis yang merayu kerjasama beliau dalam siasatan. Tiga notis dihantar kepada pendakwah tersebut, iaitu pada 28 Feb, 15 Mar dan 31 Mac. Waran tanpa ikat jamin juga dikeluarkan terhadap beliau pada 21 April setelah beliau enggan bekerjasama.

PERMOHONAN NOTIS MERAH DARI INTERPOL

NIA kemudian menulis kepada pejabat pasport serantau pada 29 Jun agar pasportnya dibatalkan. Dr Zakir dikehendaki menyerahkan pasportnya dalam tempoh 10 hari bermula dari 3 Julai.

Dalam laporan lain dari suratkhabar The Hindu, Dr Zakir tetap enggan bekerjasama dan gagal hadir di pejabat pasport serantau.

Pasport yang dikeluarkan pada Januari lalu kepada warga negara India itu, mempunyai tempoh sah 10 tahun.

Yayasan Kajian Islam (IRF) yang diasaskan Dr Zakir sudah diisytiharkan sebagai pertubuhan haram oleh pemerintah India. Saluran TV beliau, Peace TV, juga dihentikan siarannya. NIA kini membuat pemohonon untuk mendapatkan notis merah dari Interpol terhadap Dr Zakir.

BERMASTAUTIN DI MALAYSIA

Dr Zakir, yang juga merupakan seorang doktor perubatan, sering ke Arab Saudi dan Malaysia setelah meninggalkan India di mana beliau dikehendaki untuk siasatan berkenaan pengganasan dan penyeludupan wang haram.

Menurut Malay Mail Online, Dr Zakir menjadi penduduk tetap Malaysia sejak lima tahun yang lalu. Beliau dianugerahkan Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara oleh NGO Perkasa pada 16 April.

Laman itu menambah, pada 10 Julai, Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Dr Zakir ditetapkan sebagai salah seorang tetamu istimewa dalam persidangan serantau bagi para sarjana Muslim di Kota Baru, Kelantan.

19 aktivis hak asasi Malaysia turut mengenakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Federal atas sebab gagal melindungi rakyat dari Dr Zakir yang dilihat sebagai ancaman kepada keamanan negara.  

Sumber : Agensi berita/sn/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan