Images
  • forest city
    Model reka bentuk Forest City, yang dijangka dibina di Johor. (Gambar fail: TODAY)

HSR S'pura-KL mungkin singgah Forest City Johor

KUALA LUMPUR: Projek Kereta Api Laju (HSR) yang menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur mungkin akan menyaksikan perubahan dari segi pelarasan.

Ini didorong oleh permintaan oleh sektor privet bagi mengalihkan laluan kereta api itu ke Forest City di Johor.

Ia difahamkan bahawa pemaju hartanah Hong Kong, Country Garden Holdings Co. meminta kerajaan Malaysia supaya membina sebuah stesen HSR di Forest City.

Country Garden sudahpun membuat permintaan kepada pihak berkuasa dan pihak-pihak yang berkepentingan.

"Perbincangan sedang dijalankan antara pihak berkuasa dengan pihak-pihak berkepentingan. Mereka sedang berbincang tentang kos tambahan bagi menambah stesen di Forest City," menurut sumber.

Sumber itu juga mengatakan bahawa Country Garden sudah merancang laluan masuk dari Malaysia dan Singapura, dengan rangkaian transit feri dan LRT di tengah-tengahnya.

Stesen HSR yang mungkin dibina di Forest City itu akan menjadi hab pengangkutan baru bagi Johor Baru, serupa dengan KL Sentral di Brickfields, menurut sumber itu kepada New Straits Times.

Kedua-dua pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dua hala pada 13 Disember bagi perasmian projek HSR tersebut. Operasi dijangka bermula menjelang 31 Disember 2026.

Projek berkenaan termasuk tujuh stesen di Malaysia - Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri - sebelum tiba ke destinasi terakhir di Jurong East, Singapura.

Bagi pelarasan sedia ada, kereta api akan bertolak dari Iskandar Puteri dan menuju ke Laluan Kedua Tuas untuk memasuki Singapura.

"Pelarasan serupa akan tetap digunakan, tetapi laluannya mungkin dialihkan ke Forest City sebelum menuju ke koswe (kedua) itu. Jaraknya mungkin lebih jauh dan akan menelan belanja lebih besar bagi Malaysia. Singapura, bagaimanapun, tidak akan terjejas oleh langkah ini," dedah sumber tersebut.

Laluan kereta api laju sejauh 350 kilometer itu (di mana 335 kilometer terletak di Malaysia) akan menyingkatkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit.

Ketersambungan itu juga akan membolehkan perniagaan untuk lebih berdaya hasil, manakala orang ramai dapat menikmati perjalanan lebih pantas dan selesa dari Kuala Lumpur ke Singapura.

Sumber berkenaan turut mendedahkan stesen HSR yang diusulkan di Forest City itu akan memenuhi keperluan para pelancong dan seramai 700,000 penduduk yang dijangka menetap di enklaf perumahan dan komersil sebaik saja projek itu selesai dalam masa 20 tahun.

Para penduduk dan pengunjung juga bakal mendapat akses kepada kemudahan gaya hidup mewah, termasuk hotel, pusat penjualan, taman dan daya tarikan.

"Country Garden menjangkakan Forest City meningkatkan pertumbuhan dan ekonomi di Malaysia dan Singapura. Oleh itu, stesen HSR itu akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua negara," menurut sumber itu.

Forest City akan dibina di empat pulau buatan manusia dalam masa 20 tahun. Ia dijangka menjadi pembangunan hartanah terbesar di Asia dari segi jumlah hartanah untuk dibangunkan.

Pelaburan bagi projek berkenaan dianggarkan bernilai RM175 bilion (S$56.2 bilion).

- Agensi berita/TODAY/IM/im

Komen Anda?

Top